SAUDARA PENGARANG,
SEJAK dahulu lagi, ibu bapa sangat menggalakkan anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Mengapa?
Hal ini kerana masyarakat kita mengetahui graduan perubatan mempunyai peluang dan jaminan pekerjaan lebih baik.
Graduan perubatan akan ditawarkan menjalani latihan selama dua tahun dan kemudian dikehendaki berkhidmat sebagai pegawai perubatan selama dua tahun lagi di hospital kerajaan.
Apabila telah melengkapkan latihan, mereka berpeluang besar diserap sebagai lantikan tetap dan doktor adalah salah satu profesion yang memberikan gaji lumayan.
Namun, semua ini berlaku sebelum 2016. Selepas itu, kerajaaan mula menawarkan perjawatan kontrak kepada graduan perubatan sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kekurangan fasiliti kesihatan untuk menempatkan mereka bagi menjalani tempoh latihan atau housemanship.
Kerajaan juga tidak mampu menambah kuota pelantikan pegawai perubatan tetap kepada semua graduan perubatan kerana kekangan kewangan.
Namun, alternatif yang diberikan ini bukan solusi menyeluruh dan hanya bersifat sementara kerana ia merupakan perancangan sumber manusia tidak bersepadu.
Oleh itu, penyelesaian lebih mudah dan merangkumi semua aspek perlu dilaksanakan demi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Jika kerajaan bertindak pantas dalam menyelesaikan isu lambakan graduan perubatan, kekecewaan doktor kontrak tidak akan sampai ke tahap mereka perlu berjuang menerusi gerakan #HartalDoktorKontrak.
Antara kandungan memorandum gerakan itu ialah kerajaan diminta melampirkan kriteria pemilihan doktor lantikan tetap secara telus dan menyediakan laluan pascasiswazah yang jelas untuk doktor yang telah menamatkan latihan.
Tuntutan itu adalah wajar kerana kita boleh lihat terdapat kelemahan dalam sistem pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan.
Namun, tuntutan mereka supaya semua doktor kontrak diserap menjadi lantikan tetap hanya akan memberi solusi bersifat jangka pendek kerana ada beberapa aspek yang perlu diteliti terutama kemampuan kewangan negara.
Jika kerajaan menawarkan lantikan tetap kepada semua doktor kontrak, ia adalah keputusan yang hanya menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja akibat pandemik Covid-19.
Apa akan terjadi selepas pandemik ini berakhir apabila semua rakyat sudah diberikan vaksin? Adakah kita masih memerlukan jumlah tenaga kerja sebanyak yang kita perlukan buat masa ini?
Persoalan paling utama, adakah tuntutan jaminan pekerjaan ketika negara sedang bergelut dengan pandemik ini adil dan tidak berlebihan?
Ini kerana jika kita lihat pada dasarnya, kerajaan tidak pernah memberikan jaminan kepada mana-mana graduan bahawa mereka akan ditawarkan pekerjaan setelah tamat pengajian.
Sebagai contoh, jika kita bandingkan graduan perubatan dan bukan graduan perubatan, sekurang-kurangnya graduan perubatan akan ditawarkan untuk menjalani latihan dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan selama empat tahun dan mereka diberi gaji sepanjang tempoh tersebut.
Namun, bagi graduan bukan perubatan, semasa menjalani latihan pratikal, ada sesetengah mereka tidak menerima elaun dan jika ada elaun, jumlahnya kurang RM1,000 sebulan.
Graduan bukan perubatan tidak mendapat apa-apa jaminan pekerjaan dan mereka perlu mencari jalan penyelesaian sendiri untuk mendapatkan pekerjaan.
Sekiranya kerajaan menawarkan perjawatan tetap kepada semua doktor kontrak, adakah ini keputusan yang adil terhadap graduan bukan perubatan yang sedang bergelut mencari sesuap nasi kerana ketiadaan pekerjaan?
Kerajaan sepatutnya hanya memberi pertimbangan kepada permintaan yang memberi faedah kepada semua graduan secara menyeluruh dan tidak berat sebelah.
NAZIHAH, bekas guru sementara.