SAUDARA PENGARANG,
IMPAK pandemik Covid-19 sangat dirasai oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya penjaja, peniaga pasar pagi, pasar terbuka, bazaria dan peniaga pasar malam.
Impak ini dapat dikurangkan dengan pendigitalan perniagaan. Peniaga mampu mengharungi krisis sekiranya mengubah pemikiran dan beralih kepada kaedah perniagaan baharu.
Masalah utama peniaga adalah mereka tidak muncul di pasaran maya sedangkan mempunyai produk yang baik dan bagus. Sebagai contoh, peniaga pasar malam saban minggu dikunjungi pelanggan sama kerana ingin membeli produk yang mereka tawarkan. Namun, setelah pelaksanaan sekatan pergerakan, pelanggan tidak lagi mempunyai peluang untuk mendapatkan barangan atau makanan yang diinginkan kerana tapak pasar malam tidak dibenarkan beroperasi. Sekiranya produk tersebut berada dalam pasaran maya, ia akan memudahkan pelanggan untuk mencarinya.
Penting bagi peniaga untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital sekiranya mereka ingin bertahan dan berjaya dalam dunia pasca Covid-19. Industri pertanian di Tanah Tinggi, Cameron Highlands memberikan contoh yang sempurna. Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0), petani tidak dapat menjual kerana sekatan logistik serta pengangkutan dan terpaksa membuang semua hasilnya kerana kekangan penyimpanan. Untuk mengatasi masalah ini, petani beralih ke platform e-dagang dan menjual 70 tan hasil dalam talian dalam masa tiga minggu.
Sejak penularan pandemik ini, trend pembelian dalam talian di Malaysia meningkat sebanyak 28.9 peratus pada April 2020. Trend ini dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kajian oleh University Consortium Malaysia mendapati penggunaan teknologi digital akan meningkatkan produktiviti PKS dengan ketara. PKS yang menggunakan media sosial mengalami peningkatan produktiviti 26 peratus sementara mereka yang terlibat dalam e-dagang meningkat 27 peratus. Selain itu, menurut Huawei Technologies, aplikasi teknologi digital canggih seperti penyelesaian pengurusan data dapat meningkatkan produktiviti PKS hingga 60 peratus.
Justeru, golongan penjaja dan peniaga PKS perlu berubah secara keseluruhannya dan mula memasarkan perniagaan mereka dalam talian selain boleh mengemaskini lokasi perniagaan, waktu perniagaan, menu dan promosi-promosi yang dijalankan.
Untuk permulaan, peniaga boleh mencipta akaun Facebook atau Google Business. Selain itu, peniaga boleh menyediakan khidmat cash on delivery (COD) bagi menghantar barangan. Oleh itu, para peniaga jangan berlengah lagi untuk mendigitalkan perniagaan anda. Ramai pelanggan yang ternanti-nanti dan merindui produk pasar malam ini.
MOHAMAD PIRDAUS YUSOH, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).