SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI rakyat, kita sepatutnya berasa bersyukur kerana mempunyai Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu dan kerabat diraja yang prihatin dengan masalah dihadapi orang ramai.
Antara teguran yang diberikan oleh golongan diraja ialah pemimpin jangan berebut kuasa ketika rakyat susah.
Keprihatinan yang ditunjukkan oleh golongan diraja membolehkan rakyat mendapat sokongan dari segi psikologi setelah kerajaan dilihat seolah-olah sudah buntu untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul akibat pandemik Covid-19.
Apabila berbicara mengenai keprihatinan golongan diraja, saya teringat satu klip video pada 2017 yang ditonton 74 juta kali dalam YouTube dan masih dikongsi hingga sekarang.
Video itu memaparkan Duke of Sussex dari Britain, Putera Harry yang sedang menonton kejohanan sukan, Invictus Games di Toronto, Kanada yang disertai anggota tentera yang cedera dan sakit ketika bertugas.
Beliau yang duduk bercampur dengan penonton lain ‘berpura-pura’ tidak nampak apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun bernama Emily mengambil bertih jagung daripada dalam bungkusan yang dipegangnya.
Setelah membiarkan kanak-kanak itu menyeluk dalam bungkusan sebanyak 10 kali, beliau akhirnya secara berseloroh ‘menangkap’ kanak-kanak itu.
Emily ialah anak kepada bekas tentera British, David Henson, yang kehilangan kedua-dua kakinya ketika peperangan di Afghanistan dan sekarang menjadi atlet paralimpik sepenuh masa.
Saya mahu menyentuh komen-komen penonton klip video terbabit yang mahu golongan diraja mencontohi sikap Harry yang tidak kisah bercampur dengan rakyat biasa dan sentiasa mahu membela nasib kanak-kanak.
Antara ungkapan menarik yang pernah disebut Harry ialah: “Jika kamu menghadapi kesengsaraan, berikhtiar sebaiknya untuk memastikan pengalaman negatif yang kamu hadapi, diperbetulkan buat anak-anak kamu (tidak berterusan kepada anak dan cucu).”
HAJI RAMLAN, Shah Alam, Selangor.