SAUDARA PENGARANG,
PERTELINGKAHAN politik yang berlaku sekarang bukan bertujuan berkhidmat kepada rakyat tetapi dilihat sebagai mengumpul harta melalui kronisme dan patronisme (memberi bantuan, dukungan dan keistimewaan kepada kumpulan atau individu tertentu) bagi faedah diri sendiri.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), banyak pemimpin dan ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) melompat ke Pakatan Harapan (PH) untuk meraih jawatan dan projek.
PH menggunakan politik patronisme untuk memancing ahli Parlimen UMNO supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan perkara itu diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan PN enggan menghapuskan sistem kontrak untuk pekerja hospital seperti doktor, pembersih hospital dan pegawai farmasi atas alasan kos yang tinggi.
Namun, kerajaan PN boleh pula melantik ahli politik sebagai penasihat Perdana Menteri yang bertaraf menteri dengan gaji dan imbuhan bernilai beratus ribu ringgit untuk setahun.
PN memberikan beratus ribu jawatan bersifat patronisme seperti pengarah syarikat milik kerajaan (GLC), ahli majlis bandar raya dan ketua kampung.
Beratus-ratus entiti khas (SPV) dan agensi baharu ditubuhkan untuk mewujudkan jawatan lembaga pengarah demi politik patronisme. Jawatan tersebut diberikan gaji, pencen dan imbuhan bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit setahun.
Gaji pekerja kerajaan pula tidak dikaji untuk 20 tahun. Beban kos patronisme dan kronisme telah mengurangkan dana untuk menaik taraf hospital, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menaikkan gaji pekerja awam.
Rakyat akan terus kecewa dengan Perdana Menteri baharu jika keseluruhan sistem patronisme dan kronisme tidak dihapuskan dan dilaksanakan demokrasi di setiap peringkat.
Jawatan seperti ketua kampung dan ahli majlis bandar raya perlu dipilih melalui pilihan raya.
Sistem pilihan raya Persekutuan dan negeri perlu diubah daripada first past the post‘ kepada perwakilan berkadar (proportional representation) yang lebih mencerminkan keadaan sebenar sosioekonomi kita.
Bukan sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi seluruh sistem politik patronisme dan kronisme perlu disingkirkan.
SHARAN RAJ, Melaka.