SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas kenyataan pengendali platform media sosial, Twitter baru-baru ini yang menolak menyertai syarikat lain untuk melarang kumpulan yang menjadi pemerintah baharu Afghanistan, Taliban daripada menggunakan aplikasi yang ditawar pihaknya.
Syarikat itu membenarkan akaun Twitter yang mempunyai kaitan dengan Taliban terus digunakan dengan alasan tidak mempromosikan keganasan.
Sebelum ini, syarikat pesaing lain seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, TikTok dan YouTube melarang serta menutup akaun yang berkaitan, mempromosi atau memuji Taliban.
Cuma yang menggelikan hati apabila Twitter turut membenarkan akaun palsu yang dikaitkan dengan Taliban terus digunakan buat beberapa ketika sehinggalah ditegur warganet.
Antaranya akaun @Dohammed_Trumpistan1 yang mendakwa dia ialah jurucakap Taliban sedangkan yang dipakai gambar bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berjanggut dan memakai serban.
Akaun yang mempunyai 10,000 pengikut telah didaftarkan awal bulan ini dengan slogan Afghanistan Akan Kembali Hebat dan Kematian Buat AS.
Ironinya, akaun Twitter Trump telah disekat platform itu selepas rusuhan di bangunan Capitol, 6 Januari lalu.
HUSIN PARODI, Kuala Kangsar, Perak.