Semua guru perlu memiliki ‘emas, perak’ - Utusan Malaysia

Semua guru perlu memiliki ‘emas, perak’

SELAIN komunikasi yang baik, guru juga perlu menjadi pendengar yang baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN baru-baru ini mengumumkan pengambilan khas besar-besaran guru baharu melibatkan 18,702 perjawatan.

Langkah itu diumumkan setelah perancangan penuh teliti dibuat bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah berlarutan bertahun-tahun lamanya.  

Persoalannya, adakah calon-calon guru yang bakal dipilih ini benar-benar memenuhi kriteria sebagai seorang guru sejati abad ke-21?

Semua guru ingin menjadi yang terbaik, tetapi apakah kualiti yang menjadikan seorang guru itu hebat? 

Apakah kemahiran, bakat dan ciri-ciri serta adakah ia boleh diajar atau dipelajari? Mengajar memberi kepuasan kepada sesetengah orang yang melakukannya dengan baik. Saya tahu akan hal ini kerana saya juga seorang guru. 

Meskipun saya rasa saya bukanlah seorang guru yang bagus, tetapi saya tahu kebanyakan pelajar sukakan saya. Hal ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa banyak perkara yang bagus berlaku di bilik darjah saya. 

Anda mungkin menyangka kualiti paling penting bagi guru adalah dengan mempunyai pengetahuan kerana inilah tugas guru, iaitu berkongsi pengetahuan. 

Tetapi tidak kira sejauh mana seorang guru itu berpengetahuan, jika mereka tidak boleh menyampaikannya dengan cara yang bukan sahaja boleh difahami tetapi menarik, pengetahuan yang dimiliki oleh guru tersebut tidak berguna. 

Sekiranya kemahiran komunikasi guru seperti lisan, bukan lisan dan visual adalah baik, maka mereka boleh menyampaikan pengetahuan dengan lebih baik. 

Selain komunikasi yang baik, guru baik juga merupakan pendengar yang baik. Seperti kata pepatah Turki, jika percakapan adalah perak, maka mendengar adalah emas. 

Sudah tentu, komunikasi yang efektif hanya berlaku apabila terdapat sekurang-kurangnya dua pihak secara aktif melibatkan diri dalam proses tersebut bersama-sama dan satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada komunikasi tersebut didengari adalah dengan bertanya dan mendengari jawapan. 

Jadi, dalam persekitaran pembelajaran yang ideal, guru bertanya soalan dan kemudian secara aktif, dengan teliti, mendengar secara empati apa yang dikatakan pelajar. Apabila guru yang bagus membina kualiti kesabaran dalam diri, mereka akan mula menjadi yang terbaik. 

Selain itu, mencintai mata pelajaran yang diajar akan memberi inspirasi kepada pelajar untuk lebih banyak belajar.

Guru yang bagus biasanya mereka yang sangat prihatin, bukan sahaja terhadap tugas, tetapi terhadap setiap murid yang mereka ajar.

Guru bagus juga sentiasa mendekati murid, lebih banyak berkomunikasi, bertanya, belajar dan menambah baik. Hal ini adalah sesuatu yang tidak boleh diajar, meskipun di sekolah terbaik. 

Rumusannya, sesiapa sahaja yang pernah menjadi guru akan tahu  mengajar adalah satu tugas sukar. 

Rahsia guru terbaik ialah mereka tidak akan menyerah kalah untuk berjaya. Seorang guru yang bagus akan melakukan segala-galanya untuk membantu pelajar.  

Guru terbaik tidak akan berputus asa kerana menurut usahawan Amerika Syarikat, Charlie Finley, “usaha yang bersungguh dan disertai pengorbanan mampu menghasilkan kejayaan.”

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN, Tokoh Guru Kebangsaan 2016.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya