SAUDARA PENGARANG,
PENULARAN pandemik Covid-19 nampaknya tidak mudah dihapuskan dan terus mencari mangsanya. Sungguhpun begitu, pelbagai ikhtiar dilakukan oleh kerajaan dalam mengekang wabak tersebut.
Saranan supaya rakyat duduk dirumah dengan mengasingkan diri daripada terdedah kepada jangkitan adalah jalan terbaik. Begitu juga usaha memastikan seluruh rakyat menerima suntikan vaksin sebagai pelindung serta membantu seseorang daripada mengalami kesan teruk sekiranya dijangkiti virus Covid-19 amat baik.
Di samping itu, terdapat segelintir rakyat yang memilih mengamalkan ubat-ubatan secara tradisional dan secara Islam sebagai ikhtiar mencegah penularan virus yang ganas ini.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan rakyat, tetapi kita mungkin terlepas pandang satu kaedah iaitu semburan asap bagi sanitasi yang banyak dilakukan di negara-negara luar. Negara kita sering melakukan kaedah kawalan secara semburan apabila melibatkan kes seperti denggi atau demam kepialu (demam paratifoid). Kadar keberkesanan terhadap penyakit berjangkit tinggi sekiranya melakukan semburan di lokaliti yang terkesan.
Jadi, apa salahnya Malaysia mengamalkan kaedah ini secara besar-besaran di sekitar kawasan kes tinggi seperti di pasar pasar raya, pejaba, masjid, surau dan lain-lain tempat awam secara berskala serta kerap, bukannya hanya dilakukan sekiranya ada kes penularan.
Langkah ini mungkin bukanlah yang terbaik tetapi mungkin dapat mengurang dan menghalang penularan virus di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk padat.
ANTI COVID -19, Kuala Kangsar, Perak