SAUDARA PENGARANG,
SUKAN Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang diteruskan kelangsungannya selepas ditunda tahun lalu menjadi medan terbaik menanam semangat kekitaan, permuafakatan dan kesatuan dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19 secara bersama.
Temasya selama 17 hari itu menzahirkan kecekalan, daya saing dan keyakinan manusia untuk mencapai kejayaan walaupun apa jua cabaran dihadapi.
Perdebatan sebelum ini mengenai kelangsungan Sukan Olimpik 2020 diakhiri dengan keputusan untuk meneruskan penganjuran temasya itu setelah memastikan semua langkah pencegahan dan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.
Prinsip dan nilai kesukanan yang ditunjangi oleh elemen asas olimpik dalam memacu semangat solidariti, persaudaraan dan kekitaan ternyata membolehkan 11,090 atlet dari 205 negara bersaing tanpa sebarang masalah besar.
Sukan Olimpik 2020 menjadi lambang dan landasan ke arah pemulihan global pasca pandemik dan simbol harapan kebangkitan semula manusia sejagat.
Dalam konteks kontinjen negara, semangat juang yang ditunjukkan para atlet Malaysia menjadi pendorong kepada semua rakyat untuk menjiwai sifat sama dalam melawan pandemik Covid-19 dan membangunkan negara ini selepas keadaan kembali pulih.
COLLINS CHONG, Penolong Pendaftar Universiti Malaya (UM).