SAUDARA PENGARANG,
PADA 8 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) terhadap penerima lengkap dos vaksin Covid-19.
Antara kelonggaran diberikan kepada negeri yang memasuki fasa dua dan tiga dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan.
Ini adalah satu kelegaan kepada pengusaha hotel dan inap desa kerana mereka boleh meneruskan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Apabila operasi perhotelan dibuka, ia dapat meringankan beban ribuan pekerja hotel yang pendapatan mereka terjejas apabila dicutikan tanpa gaji mahupun dipotong separuh gaji.
Pengusaha inap desa pula dapat menarik nafas lega kerana duit dibayar pelancong dapat digunakan untuk menampung kos operasi, penyelenggaraan dan membolehkan mereka membayar ansuran pinjaman bank apabila tempoh moratorium selesai.
Di samping itu, kelonggaran aktiviti pelancongan membolehkan orang ramai meredakan tekanan perasaan setelah berkurung di rumah dalam tempoh lama dan harus mematuhi sekatan perjalanan.
Pengurangan tekanan dapat mengurangkan kes bunuh diri. Dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 468 kes bunuh diri berbanding 631 kes sepanjang tahun lalu. Salah satu daripada tiga punca utama adalah tekanan perasaan.
Bagaimanapun, kelonggaran itu tidak akan memberikan manfaat jika semua pihak tidak mematuhi SOP.
Selain mewajibkan pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial, pengusaha hotel dan inap desa perlu menyemak status vaksinasi pelanggan mereka terlebih dahulu.
Hanya pelancong yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua dibenarkan menginap di situ.
Pada masa sama, perlu kerap sanitasi kawasan yang dikunjungi dan kemudahan yang digunakan oleh pelanggan terbabit.
DR. MOHD. HAFIZ BAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.