Radzi, diam-diam ubi berisi - Utusan Malaysia

Radzi, diam-diam ubi berisi

RADZI berjaya mengubah landskap pendidikan ke arah lebih baik walaupun hanya memimpin Kementerian Pendidikan dalam tempoh 18 bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEGELINTIR ahli politik luar kerajaan, ahli akademik luar sekolah dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam bekas Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin, lantaran sikapnya yang tidak termakan agenda-agenda mereka.

Tetapi Radzi di dalam tempoh masa yang singkat selaku Menteri Pendidikan, telah membuktikan beliau adalah antara Menteri yang terbaik pernah menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia. Radzi membuktikan beliau mempunyai keberanian melakukan perubahan demi kebaikan sistem pendidikan negara dan masa depan generasi pewaris bangsa. Beliau berani mengambil risiko dengan melaksanakan dasar-dasar baharu yang tidak tersentuh oleh Menteri-Menteri Pendidikan sebelumnya.

Di dalam tempoh yang amat singkat, Radzi telah berjaya menyelesaikan isu kekurangan lebih 18,000 guru, isu perpindahan guru, isu pembahagian peruntukan penyelenggaraan sekolah dan isu bebanan tidak wajar terhadap murid sekolah rendah dengan menghapuskan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Saat beberapa kerat individu hanya mampu terpekik terlolong mengenai keperluan kaedah pembelajaran secara off-line, Kementerian Pendidikan di bawah Radzi dalam tempoh rekod  berjaya menyediakan saluran khusus untuk pembelajaran di rumah menerusi Didik TV KPM.

Saat beberapa kerat manusia cuba menyekat pelaksanaan peperiksaan SPM sewaktu pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan ketika itu berjaya melaksanakan peperiksaan dalam norma baharu yang cukup selamat sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  memberi keputusan yang terbaik dalam tempoh beberapa tahun.

Di dalam tempoh singkat, Radzi adalah satu-satunya Menteri Pendidikan yang melawat lebih 100 buah sekolah. Lawatan tidak berjadual, singgah tanpa makluman awal – tidak bersambut dan tidak diraikan itu memberi dia ruang dan peluang melihat situasi sebenar premis sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, suasana kerja guru dan situasi pembelajaran murid dan pelajar.

Impaknya, Radzi lebih faham tentang ekosistem pendidikan negara berbanding menteri yang pernah menerajui kementerian tersebut lebih lama.

Tiada siapa pernah menjadi menteri sewaktu pandemik atau krisis yang hampir sama, Radzi juga tiada pengalaman itu tetapi kegigihan bekerja adalah kuncinya. Radzi bekerja hampir 20 jam sehari, tujuh hari seminggu. Radzi tidak pernah ambil cuti tidak kira hujung tahun atau sewaktu perayaan. Beliau sentiasa bekerja walau ketika menyuap nasi ke mulut. Beliau bertemu dan berbincang serta bermesyuarat dengan Pengurusan Tertinggi Kementerian setiap hari termasuk hujung minggu dan hari cuti.

Bahkan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi kementerian turut dikendalikan beberapa kali di dalam sehari dan sering juga berakhir sehingga dinihari.

Seingat saya sendiri, kami bekerja sehingga lewat malam pada malam hari raya Aidiladha 2020 dan kami bekerja sehingga berbuka puasa pada petang hari raya Aidilfitri baru lalu.

Radzi tidak pernah gelojoh untuk menjawab soalan yang dilontarkan media atau orang awam dan pada waktu yang sama tidak pernah lari melalui pintu belakang kerana tidak mahu bertemu media atau wakil-wakil pihak yang mahu mendesaknya.

Kepada pengkritik Radzi, ingatlah, Radzi bukan Menteri Pendidikan yang legasinya hanya kasut hitam putih dan slogan-slogan yang sedap berbunyi untuk semua telinga tetapi pelaksanaan entah bagaimana. Radzi bukan Menteri Pendidikan yang beberapa kali menyusup keluar melalui pintu belakang. Yang sering memberitahu media perkara-perkara dasar yang ada kalanya belum pun dibincangkan dengan Pengurusan Tertinggi dan Jemaah Menteri.

Radzi tidak begitu. Radzi kerap mengadakan sesi libat urus dengan pengarang media, wakil  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),  guru-guru, pelajar serta exco-exco pendidikan negeri. Radzi mendengar dan akan melontarkan segala maklumat yang diperolehnya untuk mendapat penjelasan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan sebelum mencari penyelesaiannya.

Radzi memilih untuk tidak banyak bercakap dengan media tetapi Radzi tidak pernah menolak bila media sudah berkumpul menantinya, apatah lagi mendesak pegawai kementerian mencari laluan tikus supaya dapat lari.

Akhirnya, Radzi bukanlah Menteri Pendidikan yang dipecat oleh Perdana Menteri, sebaliknya Radzi turun dengan penuh terhormat bersama rakan kabinetnya.

Radzi tidak mengejar populariti, tidak minta disenangi dan mohon dihargai. Namun begitu, beliau amat menghargai amanah yang diberikan dan cukup berhati-hati supaya kenyataan-kenyataannya bertanggungjawab serta tidak mengelirukan masyarakat di kala negara di dalam krisis yang serius.

Senang kata, Radzi tidak disenangi pengkritiknya kerana Radzi tidak melayan agenda mereka.

Ada pula yang berpendapat, Radzi dapat memberi komitmen tinggi kepada kementerian kerana beliau bukan ahli Dewan Rakyat. Benar, konsentrasi Radzi tidak berbelah bahagi dengan konstituensi beliau memandangkan Radzi adalah ahli Dewan Negara. Namun, mengatakan Radzi tidak pandai berpolitik adalah tidak tepat. Radzi dalam diam-diam, tanpa mengundang kontroversi dan menagih publisiti adalah ahli politik yang cekap. Sudah pasti lebih cekap dari mantan Menteri Pendidikan sebelumnya yang melekat dengan dakwaan telah berjanji menghapuskan kutipan tol Simpang Renggam.

Di dalam senyap-senyap Radzi menang pertaruhannya sebagai Naib Presiden Parti Bersatu. Kemudian beliau telah membantu menyumbangkan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRK) Sabah. Sewaktu pilihan raya itu, kecekapan dan ligatnya Radzi sebagai ahli politik terserlah. Hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sahabat seangkatannya di Sabah. Bahkan, Radzi adalah pengarang manifesto PN Sabah.

Radzi adalah manifestasi kejayaan sebagai ahli politik tidak perlu bersandarkan kontroversi dan publisiti serta janji palsu. Sandaran Radzi hanya satu, ‘Nothing Beats Hard Work’.

 

AISY ADZRY

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya