Perkukuh kerohanian supaya tidak mudah ‘koyak’ - Utusan Malaysia

Perkukuh kerohanian supaya tidak mudah ‘koyak’

MEMBACA al-Quran bersama-sama selepas solat berjemaah dapat menambahkan kasih sayang sesama keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN kes harian Covid-19 memang agak menggusarkan kita sebagai rakyat. Sebab itu, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk mengekang pergerakan orang ramai. 

Sewajarnya kita sebagai rakyat yang taat dapat bersama-sama mematuhi nasihat kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan agar duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar. 

Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran semasa musim pandemik, inilah masa kita mengambil peluang mempertingkatkan ibadat yang selama ini mungkin tidak dapat dilaksanakan secara sempurna. 

Sebagai contoh, setiap ibu bapa yang bekerja dari rumah (BDR) dapat menjaga kesempurnaan solat diri sendiri dan anak-anak. Pada masa sama, ibu bapa boleh membantu anak-anak yang mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pendidikan rohani kepada anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa, seperti dinyatakan Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud: “Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika berumur 10 tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.”

Langkah menitikberatkan urusan rohani anak-anak dapat mempertingkat ketakwaan kita kepada Allah SWT. 

Selain itu, gunakan peluang ketika pandemik ini untuk meningkatkan ibadat bersama ahli keluarga. Sebagai contoh, bagi pasangan yang sama-sama BDR bolehlah melakukan solat secara berjemaah bersama. 

Selain itu, mengadakan usrah dan membaca al-Quran bersama-sama selepas solat berjemaah juga adalah cara untuk menambahkan kasih sayang sesama keluarga. 

Bagi suami yang hatinya sentiasa di masjid, ketika musim pandemik ini yang mengehadkan jumlah jemaah, dapatlah mereka mendapat nikmat solat berjemaah tersebut dengan menjadi imam di rumah masing-masing. 

Kekurangan sumber ekonomi, kehilangan ahli keluarga akibat pandemik serta pelbagai badai kehidupan melanda rakyat pada masa ini. 

Oleh itu, kita perlu perkukuhkan sistem kekuatan dalaman atau spiritual bagi mewujudkan rakyat yang memiliki daya ketahanan tinggi dan tidak mudah ‘koyak’ dengan cabaran. 

 NURUL HAJAR JAMALUDDIN,  Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya