Perbaiki kedudukan ketiga tercorot - Utusan Malaysia

Perbaiki kedudukan ketiga tercorot

SUDAH sampai masanya pulau-pulau di Malaysia menerima kemasukan pelancong asing seperti yang dibuat di Phuket, Thailand sejak Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadapi cabaran amat berat bagi menangani pandemik Covid-19, bak kata peribahasa, beban berat senggulung batu.

Ini berdasarkan ranking Malaysia berbanding negara-negara ASEAN lain yang berada pada kedudukan ketiga tercorot dari segi bilangan keseluruhan kes Covid-19.

Sehingga 21 Ogos lalu, Malaysia ketiga paling teruk dalam kalangan 10 negara Asia Tenggara dari segi kes keseluruhan, iaitu sebanyak 1.53 juta selepas Indonesia (3.96 juta) dan Filipina (1.82 juta). 

Dari segi jumlah yang meninggal dunia, Malaysia berada dalam kedudukan keempat paling teruk iaitu 13,936 orang selepas Indonesia (125,342), Filipina (31,596) dan Myanmar (14,236).

Oleh itu, saya bersetuju dengan pandangan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis, baru-baru ini bahawa antara keutamaan Perdana Menteri baharu adalah meneruskan sasaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dengan memastikan 80 peratus penduduk diberi suntikan vaksin.

Setakat ini, program itu berjalan lancar dan sehingga 17 Ogos lalu, Malaysia cukup pantas dari segi vaksinasi dengan 38.8 peratus penduduk telah disuntik kedua-dua dos berbanding Indonesia (11.4%) dan Filipina (11.9%).

Negara ini hanya ketinggalan di belakang Singapura yang vaksinasi lengkap pada kadar 74.8 peratus dan Kemboja 46.9 peratus. Kita juga lebih terkehadapan berbanding New Zealand dan Australia yang kadar vaksinasi penuh masing-masing hanya 19.4 dan 23.3 peratus.

Bagaimanapun, kadar vaksinasi bukan penentu segala-galanya kerana ada negara mempunyai kes keseluruhan lebih kecil walaupun kadar vaksinasi lengkap rendah seperti Thailand (8.2%) dan Brunei (13.6%).

Saya juga setuju dengan pendapat Uzaidi bahawa Perdana Menteri baharu perlu mengambil pendekatan di luar kotak termasuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) menangani pandemik yang dinamik, relevan dan praktikal dengan melibatkan wakil dari setiap industri pelancongan.

Dengan adanya SOP sedemikian, sektor pelancongan yang sudah lama sakit teruk yang merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih empat juta peluang pekerjaan, boleh dibuka secara berperingkat-peringkat.

Ia boleh menggunakan kaedah gelembung pelancongan seperti dilaksanakan di Phuket, Thailand apabila kadar vaksinasi di situ sudah mencapai imuniti kelompok 80 peratus.

Sejak Phuket dibuka semula kepada pelancong asing bermula 1 Julai hingga 15 Ogos, sebanyak 292 penerbangan masuk kebanyakan melibatkan syarikat-syarikat Singapore Airlines, Qatar Airways dan Emirates dicatatkan melibatkan 18,654 pelancong asing.

Kita boleh mulakan di pulau-pulau seperti Pulau Tioman dan Pulau Labuan yang telah mencapai vaksinasi 80 peratus dan pulau-pulau lain iaitu Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor.

Seperti yang disebut Uzaidi, proses keluar masuk ke pulau-pulau lebih senang dikawal dan diurus. Selepas kita melihat betapa efektifnya kemasukan pelancong di pulau-pulau itu, mungkin kita boleh luaskan kepada destinasi pelancongan lain.

Industri pelancongan telah lama terjejas dan jika ia dapat dimantapkan, maka mantaplah ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

HAJI RAZIF, Rawang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya