SAUDARA PENGARANG,
GERAKAN masyarakat sivil adalah pertubuhan yang bergerak secara sukarela dengan dana yang mereka usahakan sendiri.
Dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang, peranan gerakan ini tidak harus diabaikan bagi mengubah keadaan kurang baik kepada suatu situasi lebih baik.
Kempen mengibarkan bendera putih baru-baru ini bagi memudahkan penyaluran bantuan sampai kepada golongan yang terkesan merupakan bukti kejayaan gerakan tersebut memenuhi kelompangan di antara kerajaan dan ahli politik terhadap rakyat.
Gerakan ini lahir daripada perasaan kecewa rakyat terhadap pelbagai langkah kawalan pergerakan ditambah dengan kecelaruan politik semasa sehingga menjejaskan kualiti hidup dan ekonomi rakyat bawahan.
Kempen mengibarkan bendera putih dilihat logik dan praktikal dalam menyalurkan bantuan malahan dilihat mendahului tindakan ahli-ahli politik yang terlalu sibuk dengan perebutan kuasa.
Bantuan juga tiba dengan begitu pantas. Usaha ini turut menarik perhatian ahli-ahli politik untuk bertindak lebih aktif berbanding sebelumnya.
Elemen kekitaan wajib ada dalam gerakan masyarakat sivil bagi memastikan negara bebas daripada ancaman pandemik Covid-19.
Gerakan masyarakat sivil ini akan berkesan sekiranya dapat membebaskan dirinya daripada dikotori sentimen politik kepartian.
Selain itu, kewujudan gerakan masyarakat sivil bukan bertujuan menyemarakkan lagi suhu panas politik negara tetapi mencipta jalan keluar kepada keresahan rakyat mendepani pandemik.
Gerakan ini juga menjadi mekanisme semak dan imbang dan tidak harus menjadi ejen mana-mana parti politik.
Kempen ini menjadi titik temu kesepaduan masyarakat tanpa lagi menghiraukan perbezaan parti politik. Justeru, frasa ‘rakyat bantu rakyat’ berjaya memulihkan moral rakyat mendepani pandemik.
Oleh itu, tiba masanya untuk kita semua bersatu. Kita tidak akan selamat sehingga semua selamat.
DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub.