Pemerdagangan kemiskinan di media timbulkan pelbagai persepsi - Utusan Malaysia

Pemerdagangan kemiskinan di media timbulkan pelbagai persepsi

GAMBARAN kemiskinan yang ditonjolkan di media menimbulkan persepsi salah dan separuh masak terhadap agenda pembasmian kemiskinan di sesebuah negara. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KISAH kemiskinan yang tidak mendapat pembelaan sebaiknya daripada kerajaan dan institusi berwajib tetapi diambil berat oleh aktivis-aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi isu hangat diperkatakan pada ketika ini.

Bantuan yang diberikan tular di media sosial dalam keadaan menyedihkan dan menimbulkan rasa kurang senang masyarakat terhadap pihak berwajib dalam menguruskan perkara berkaitan kemiskinan.

Pemerdagangan kemiskinan ini merujuk bagaimana isu berkaitan kemiskinan digunakan dan diambil peluang melalui saluran media bagi tujuan meraih simpati serta mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak.

Melalui aktiviti pemerdagangan kemiskinan, media yang digunakan oleh sesetengah pihak memaparkan seolah-olah kemiskinan yang melanda sesebuah kawasan itu begitu dahsyat sehingga menimbulkan kesan emosi yang mendalam kepada penonton, sekali gus menimbulkan persepsi salah dan separuh masak terhadap agenda pembasmian kemiskinan.

Sedikit bantuan yang diberikan, apabila dipotret dan disebarkan melalui media ia menenggelamkan bantuan yang diberikan oleh pihak berwajib.

Sedangkan di sebalik isu yang viral itu terdapat pelbagai isu lain yang saling berkait. Misalnya isu sosial seperti masalah dadah, kemalasan dan sebagainya. Selain itu, wujud kes di mana terdapat sebahagian golongan yang mempunyai kemampuan dan memiliki harta tetapi sengaja mengambil peluang untuk meraih simpati bagi tujuan mendapatkan bantuan.

Bagi sesebuah organisasi kebajikan, pemerdagangan kemiskinan dieksploitasi bagi tujuan mendapatkan simpati bertujuan mengutip dana manakala bagi orang politik akan ditonjolkan sebagai agenda kebajikan bagi meraih undi pada pilihan raya umum (PRU).

Ditambah pula faktor ‘sensasionalisme’ menjadikannya lebih hangat dan sensasi di platform media baharu pada hari ini. Unsur sensasionalisme inilah yang memikat dan membujuk netizen untuk terus simpati dan pada masa sama menuding jari menyalahkan pihak berwajib yang dilihat gagal dalam menguruskan isu berkaitan kemiskinan ini. 

Perkara yang kecil, digembar-gemburkan oleh media seolah-olahnya ia bencana besar yang tidak diambil endah di setiap peringkat pentadbir yang ada.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam buku Doktor Umum secara kesimpulannya membuat rumusan bahawa isu kemiskinan bukan hanya di Malaysia tetapi juga di Amerika Syarikat bahkan di seluruh dunia. Semakin maju dan kaya sesebuah negara, akan muncul rakyat yang tidak bernasib baik disebabkan oleh pelbagai faktor dan keadaan.

Walaupun terdapat golongan miskin, pembangunan infrastruktur dan ekonomi negara mesti terus dipacu demi masa depan yang lebih cemerlang. Pembangunan harus dilaksana selari dengan pembasmian kemiskinan dalam masyarakat. 

Walaupun dari sudut undang-undang, pemerdagangan kemiskinan bukanlah suatu jenayah tetapi ia boleh menyumbang kepada bahaya moral  jika tidak dibendung dan ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa. 

MOHD. FAISAL MUSTAFFA, Felow Bersekutu, Institut Kajian Etnik, UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya