SAUDARA PENGARANG,
ESOK merupakan Hari Kebangsaan negara. Malaysia sejak 64 tahun lalu mengalami pelbagai perubahan termasuk landskap politik, ekonomi, pendidikan, kepadatan penduduk dan teknologi sehingga dikenali di mata dunia.
Mungkin masih ramai lagi yang menganggap kemerdekaan hanyalah sekadar kebebasan daripada cengkaman penjajah, namun skop sebenarnya lebih luas termasuk pada diri sendiri.
Lihat diri sendiri, apakah perubahan yang dilakukan dari semasa ke semasa? Kita tidak boleh selesa dengan apa yang dimiliki pada masa ini.
Lihat sahaja bagaimana pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia bukan sahaja meragut banyak nyawa, malah ramai yang terjejas dari segi kesihatan dan hilang sumber pendapatan.
Kesan pandemik ini wajar dijadikan pengajaran dan pedoman untuk seseorang itu berubah menjadi lebih baik.
Dalam situasi semasa negara hari ini, ia memerlukan jalinan kerjasama dan kefahaman yang kuat antara majikan dan pekerja. Usahlah mengambil kesempatan dengan memaksa pekerja ke pejabat hanya semata-mata memenuhi kehendak syarikat.
Ramai yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja. Bukankah itu bahaya bagi pekerja yang memiliki anak kecil atau tinggal bersama orang tua?
Justeru, teknologi yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Bukankah kita sudah terbiasa dengan norma baharu? Jadi, selagi sesuatu pekerjaan itu boleh dilakukan di rumah, mengapa tidak diteruskan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Janganlah menjadikan alasan tidak mencapai sasaran bagi memaksa golongan pekerja ke pejabat. Sekiranya benar ada masalah sepanjang bekerja dari rumah, maka gunakan kemudahan seperti Google Meet atau Zoom untuk mengadakan mesyuarat dan meminta pekerja lebih agresif dalam melaksanakan tugasan.
Kita sudah merdeka, bukan? Jadi, pemikiran seseorang itu juga perlu merdeka dengan menjadi lebih bertolak-ansur dan memikirkan kebajikan pekerja jauh daripada kehendak sendiri.
AISYAH KAMARUNZAMAN, Shah Alam, Selangor.