SAUDARA PENGARANG,
ILMU faraid ialah kaedah pembahagian harta pusaka seseorang yang meninggal dunia kepada waris dan bahagian yang layak diterima.
Kaedah pembahagian ini dinyatakan secara terperinci dalam al-Quran, surah An-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kaedah pewarisan dalam Islam supaya tidak menzalimi waris-waris yang layak menerima pusaka. Malah, salah satu aspek yang diberikan penekanan dalam maqasid syariah ialah penjagaan harta.
Namun begitu, masalah berkaitan harta pusaka sering menjadi perbahasan dalam kalangan masyarakat. Jika lihat statistik, saban tahun jumlah harta pusaka yang tidak dituntut meningkat. Dianggarkan pada 2020, jumlah harta pusaka yang terbeku ialah sebanyak RM70 bilion.
Ini kerana terdapat dalam kalangan waris tidak dapat memanfaatkannya kerana kekurangan ilmu pengetahuan disebabkan kekurangan medium atau pengajaran yang menekankan ilmu pewarisan harta pusaka. Walaupun pada masa kini banyak kuliah agama yang memberikan penekanan terhadap kepentingan ilmu ini di masjid dan secara dalam talian, namun masih kurang diberikan perhatian di peringkat media arus perdana.
Terdapat juga usaha daripada kerajaan dengan memperkenalkan ilmu ini dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam tingkatan lima. Usaha ini perlu disambut dengan baik kerana pendedahan awal dapat membantu kerajaan mengurangkan masalah harta pusaka tidak dituntut. Malah pendedahan awal ini juga telah dimulakan di peringkat darjah khas bagi Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor.
Oleh yang demikian, penyebaran maklumat berkaitan ilmu faraid boleh dilakukan secara holistik melalui industri kreatif. Selain menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memartabatkan budaya bangsa, industri kreatif merupakan satu medium penting dalam memberikan informasi-informasi terkini.
Penyebaran ilmu pusaka boleh dilakukan dalam bentuk multimedia seperti filem, iklan, seni reka dan animasi. Hal ini termasuklah memberikan kesedaran dan kefahaman kepada penonton berkaitan ilmu faraid dan realiti pengurusan harta pusaka khususnya di Malaysia.
Tambahan lagi, pada masa kini terdapat banyak karya bercirikan Islam ditayangkan di kaca televisyen khususnya animasi yang menyasarkan kanak-kanak sebagai penonton. Jika diselitkan dengan ilmu berkaitan pewarisan Islam, tidak mustahil anak-anak kita dapat menguasai ilmu ini sejak dari kecil. Walaupun tidak secara mendalam khususnya dari aspek pengiraan dan pengurusan faraid, namun mereka dapat mengetahui rukun dan syarat pusaka.
Tidak hanya demikian, ilmu ini juga boleh disampaikan dalam bentuk seni kreatif lain seperti penghasilan muzik dan penulisan kreatif. Namun begitu, penghasilan karya ini perlu dirujuk kepada pakar-pakar harta pusaka supaya maklumat yang disampaikan tepat dan tidak menyalahi undang-undang Islam.
MOHD. KHAIRY KAMARUDIN, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).