SAUDARA PENGARANG,
KEKALAHAN skuad Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam yang sekali gus meranapkan harapan untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Ini ditambah isu prestasi hambar para pemain naturalisasi. Justeru, tawaran pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantu mengendalikan serta menguruskan skuad kebangsaan dalam saingan antarabangsa wajar diteliti secara serius oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ketidaktentuan prestasi skuad cukup menghampakan dan menerima kritikan hebat daripada peminat sehingga sudah mula dianggap sebagai liabiliti kepada skuad kebangsaan.
Justeru, sudah tiba masanya kita melihat secara menyeluruh bagaimana untuk membina, membangun dan menguruskan skuad kebangsaan secara lebih profesional.
Profesional di sini bermaksud kita perlu memberi perhatian serius kepada perkara asas seperti kemudahan latihan dan infrastruktur terbaik, memilih dan melantik jurulatih yang mampu memenuhi ekspektasi serta harapan seluruh peminat tempatan.
Ini termasuk melaksanakan sesi pemilihan pemain yang layak menganggotai skuad kebangsaan secara lebih teliti dan telus, menyediakan bantuan teknikal diperlukan di samping menguruskan keperluan pemain serta pasukan secara menyeluruh.
Pengurusan kelab JDT yang cekap dan efisien sehingga mampu muncul sebagai pasukan terkuat wajar dijadikan kayu ukur kehebatan pencapaian Tunku Ismail dalam aspek pengurusan dan pengendalian sebuah pasukan bola sepak.
Harus diingat, Tunku Ismail berjaya melaksanakan transformasi 360 darjah dengan menjenamakan semula pasukan Johor kepada JDT seperti yang ada sekarang.
Pelbagai kemudahan dan fasiliti canggih disediakan di samping keberanian melabur untuk mendapatkan pemain tempatan dan import berkualiti membuktikan kehebatan ciri kepimpinan TMJ dalam bidang sukan secara keseluruhannya.
Sejak mengemukakan tawaran tersebut, para peminat bola sepak tempatan cukup teruja untuk melihat pengurusan pasukan kebangsaan selepas ini.
FAM perlu bijak membuat pengasingan kuasa dan tugas, iaitu membabitkan pengurusan badan induk bola sepak negara itu serta pengendalian skuad kebangsaan.
Presiden dan ahli jawatankuasa yang ada wajar memberi fokus kepada aspek pengurusan FAM terutamanya membabitkan tadbir urus bola sepak tempatan di samping memberi perhatian serius kepada soal pencarian dan pembangunan bakat baharu sebagai barisan pelapis.
Pengurusan skuad kebangsaan pula wajar diserahkan kepada individu seperti Tunku Ismail yang tidak terikat dengan FAM, terbukti kemampuan serta sanggup dan bersedia untuk membantu.
Berbekalkan pengalaman, pengetahuan, keberanian serta pengaruh, Tunku Ismail dilihat sebagai individu paling layak untuk menguruskan pasukan kebangsaan.
Secara prinsipnya, saya dan para peminat bola sepak tanah air yakin dan percaya Tunku Ismail ada perwatakan dan karakter yang diperlukan untuk menjenamakan semula pasukan Harimau Malaya agar kembali menjadi skuad yang disegani di rantau ini.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED, Kuala Lumpur.