SAUDARA PENGARANG,
DALAM situasi yang berbaki kurang dari dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), diharap semua parti politik dapat menjayakan prinsip kebersamaan meskipun dalam persekitaran berseteru demi kepentingan rakyat.
Semua mengharapkan kerajaan dipimpin Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menampilkan ramai menteri dalam kalangan wanita.
Hal ini sedikit sebanyak dapat memperkasakan politik wanita. Selain itu, pelantikan tersebut juga dapat mengendurkan ketegangan perbahasan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat kerana wanita biasanya lebih tertib sekali gus mampu membuahkan hasil perbahasan berkualiti.
Kerajaan juga boleh melantik ahli Kabinet dalam kalangan golongan profesional dan teknokrat (ahli sains) yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Perdana Menteri baharu juga tidak harus meminggirkan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak ke jawatan Kabinet.
Pelantikan tersebut mampu merealisasikan hasrat kerajaan terdahulu untuk melihat Sabah dan Sarawak mampu sekata dan seiring dengan Kerajaan Persekutuan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19. Ia juga dapat merancakkan pembangunan sosioekonomi di kedua-dua negeri tersebut.
Kerajaan baharu juga harus keluar daripada bayangan kleptokrat (kerajaan yang korup). Sebuah kerajaan baharu yang lebih idealistik, bersih dan menjunjung integriti tinggi harus ditampilkan.
Kualiti ini mampu menjadi sandaran berguna dalam menghadapi PRU-15 nanti. Pihak pembangkang boleh turut sama berusaha menjadikan perbahasan Parlimen kali ini sebagai medan memasarkan kualiti mereka bagi memenangi semula hati rakyat.
Meskipun secara perlembagaannya kerajaan boleh ditubuhkan menerusi persetujuan ahli-ahli Parlimen sementara rakyat hanya memilih wakil rakyat mereka sahaja, namun praktis tersebut telah meletakkan negara berada dalam satu situasi yang tidak stabil.
DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub.