Lif sering rosak, penduduk tertekan - Utusan Malaysia

Lif sering rosak, penduduk tertekan

PPR melalui proses yang panjang hampir melepasi 30 tahun, 40 tahun.- GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERIKUTAN pandemik Covid-19, rakyat dinasihatkan supaya duduk di rumah. Malangnya, rumah yang boleh dianggap sebagai syurga mungkin bersifat sebaliknya. 

Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sering mengalami banyak masalah terutama isu penyelenggaraan kemudahan awam serta pengurusan sisa buangan. 

Kebanyakan kediaman PPR adalah di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan (PBT). Flat PPR Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. 

Oleh kerana tidak diselenggara dengan sempurna, ada banyak unit kosong dan kadang-kadang kawasan awam pula agak gelap kerana pencerahan yang kurang dan lampu-lampu taman sering rosak. 

Keadaan itu mewujudkan suasana tidak sihat dan PPR sering menjadi sarang masalah sosial. Masalah rumah pangsa PPR kini semakin parah pada masa pandemik Covid-19, apabila rakyat diminta duduk di rumah. 

Masalah yang biasa diadu oleh penduduk PPR ialah kerosakan lif, penyelenggaraan sampah, pengurusan kumbahan najis serta penjagaan lampu-lampu koridor, tangga dan jalan. 

Kerja membaiki kerosakan dilambat-lambatkan dan sering kali kerja pembaikan dilakukan hanya selepas aduan. Oleh kerana tidak dilakukan dengan sempurna, ia rosak semula. 

Masalah sama berbangkit semula selepas beberapa ketika dan penduduk terpaksa naik turun semula pejabat kerajaan untuk membuat aduan dan permohonan.

Masalah terbesar adalah dana yang diperuntukkan oleh PBT untuk membaiki kerosakan dan menyelenggara flat PPR tidak mencukupi kerana dana yang dibelanjakan bergantung kepada kutipan yang dapat dikumpul daripada penyewa.

Oleh itu, jumlah peruntukan harus ditambah dengan dana tambahan daripada PBT dan kerajaan negeri.

Selain itu, kontrak yang diberikan kepada syarikat yang dipersoalkan keupayaan mereka terutama bagi menyelenggarakan lif harus ditamatkan. Terdapat aduan lif yang telah diperbaiki, kembali rosak dalam tempoh singkat. 

Terdapat kes lif di PPR jatuh pada 2019 menyebabkan kecederaan penghuni, tetapi malangnya syarikat penyelenggara lif masih dikekalkan.

Kerajaan harus memastikan dana yang diperuntukkan tidak dibazirkan dalam pengambilan kontraktor bermasalah yang tidak mampu memberi perkhidmatan berkualiti tinggi. 

Perlu juga ditubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Flat Kos Rendah termasuk PPR di setiap negeri untuk memantau kualiti penyelenggaraan flat-flat kos rendah. 

Ketiadaan proses semak dan imbang sebegini adalah antara punca utama kelemahan pengurusan flat.

Rumah PPR ialah tempat berteduh rakyat biasa yang tidak mampu membeli atau menyewa di pasaran swasta. Kepincangan sistem pengurusan dan penyelenggaraan flat PPR yang wujud sekarang harus ditangani supaya rakyat tidak tertekan.

KARTHIGES RAJAMANICKAM, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya