SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah serangan lalat yang dihadapi kira-kira 800 penduduk di Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul, Lumut, Perak ketika ini.
Kejadian yang berlaku sejak 30 tahun lalu itu menimbulkan kegelisahan dan kesusahan dalam kalangan penduduk terutama ketika waktu makan.
Mengulas laporan Utusan Malaysia bertarikh 30 Julai 2021 mengenai perkara ini, CAP bimbang jika masalah tersebut berlarutan sehingga menjejaskan kesihatan penduduk di dua kampung berkenaan .
Justeru, CAP berharap tindakan tegas perlu diambil bagi menangani keadaan ini sebelum ia bertambah buruk. CAP kesal walaupun ancaman lalat sudah lama berlaku, namun hingga kini tiada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkuasa terbabit.
CAP juga mendapat tahu pengusaha ternakan ayam di kawasan ini masih menggunakan kaedah sistem terbuka. Selain serangan lalat, penduduk juga diancam pencemaran bau busuk najis ayam.
ZULKIFLI YUSUF, Pegawai Luar Bandar CAP.