Kecewa aura kepartian diutamakan berbanding ilmu - Utusan Malaysia

Kecewa aura kepartian diutamakan berbanding ilmu

MOHD. KHAIRUL ADIB ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil untuk mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman pada 16 Ogos lalu bahawa perubahan landskap politik semasa tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam.

Benar sekali saranan beliau. Semua aktiviti yang dirancang dan diatur sejak beberapa lama tidak seharusnya tertunda atau terbatal ekoran ledakan pandemik politik. 

Maaf, saya menggunakan istilah pandemik kerana virus taasub berpolitik telah merebak dengan bahaya.

Rakan-rakan penjawat awam boleh meneruskan aktiviti tersebut sekiranya insan yang dilibatkan itu adalah di atas kapasiti dirinya atau jawatan yang tidak melibatkan parti. 

Maka usah takut dan usah bimbang kerana ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan selagi objektif dan matlamat program adalah berbentuk akademik.

Golongan cendekiawan dan profesional perlu berfikiran terbuka dan berfikiran bebas. Sebaiknya diri dan pemikiran kita jangan dibelenggu dengan rasa terlalu takut dengan orang parti atau orang politik. 

Kita perlu berfikiran rasional. Sekiranya kita menjemput mereka berucap atau merasmikan program atau menjadi panel forum dan jemputan kita adalah berdasarkan kepakaran, ilmu dan jawatan hakiki, maka teruskan. Jangan digeruni dengan jawatannya dalam parti kerana majlis kita bukan majlis parti tetapi majlis akademik.

Budaya mempolitikkan sesuatu perkara dengan sengaja atau mengaitkan sesuatu program dengan politik tanpa usul periksa perlu diubah. Penjawat awam perlu ubah minda, ubah pemikiran dan persepsi. 

Tidak lama dahulu, penjawat awam pernah digerunkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan momokan bahawa kita tidak boleh menjemput untuk perasmian ahli politik yang berlainan dengan parti pemerintah pada waktu itu, walaupun jemputan kita atas tiket kepakaran dan ilmu beliau. 

Aura kepartian diutamakan berbanding ilmu atau kepakarannya. Penjawat awam yang bersikap begini perlu berubah. Golongan profesional perlu meletakkan keprofesionalannya di hadapan. Penjawat awam perlu membezakan antara tugas hakiki, tugas rasmi dan tugas sampingan. 

Bahkan, penjawat awam perlu mengadakan hubungan yang harmoni dengan semua ahli politik demi kesejahteraan semua pihak.

Ringkasnya, kami penjawat awam menyambut baik saranan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam agar penjawat awam tidak taasub kepada mana-mana parti.

AZIZAH HUSSIN, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya