SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, seramai 12 doktor di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor diambil keterangan oleh polis.
Walaupun polis menjelaskan ia tiada kaitan dengan demonstrasi #HartalDoktorKontrak pada 26 Julai lalu sebaliknya membabitkan isu lain iaitu pencerobohan sekumpulan petugas media di PKRC, para doktor tidak sepatutnya dilayan begitu.
Siasatan itu dijalankan pada larut malam dari pukul 12 tengah malam hingga 3.50 pagi sehingga ada pihak menyifatkan layanan amat tegas itu boleh menimbulkan salah tafsiran rakyat bahawa petugas barisan hadapan berkenaan ialah penjenayah.
Pihak berkuasa perlu sedar bahawa mereka yang disiasat adalah dalam kalangan para petugas yang berhempas-pulas dengan segala kudrat yang ada, lebih-lebih lagi ketika waktu pandemik yang begitu kritikal di negara ini.
Tidak bolehkah layan mereka sebagai manusia yang sedang berkhidmat demi menyelamatkan nyawa rakyat? Kesemua mereka yang disiasat itu adalah individu-individu berkomited untuk berbakti kepada masyarakat.
Perkara seperti itu bukan kali pertama berlaku kerana pihak berkuasa sebelum ini turut menjalankan beberapa siri siasatan ke atas aktivis masyarakat yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap isu-isu yang menekan kehidupan rakyat.
Siasatan sebegini bukan sahaja amat mengecewakan rakyat malah melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang secara jelasnya menegakkan kebebasan bersuara sebagai salah satu hak asasi manusia.
Aktiviti-aktiviti bersifat simbolik termasuk protes aman oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), #HartalDoktorKontrak mahupun pembongkaran penganiayaan di tempat tahanan migran oleh aktivis masyarakat adalah respons ke atas kelalaian pihak pemerintah.
Kerajaan sepatutnya mengambil serius dan menyiasat isu-isu yang dibangkitkan aktivis masyarakat, bukannya menahan atau menyiasat pemberi maklumat.
Tindakan ini adalah cubaan kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat. Langkah ini akan menghalang Malaysia berkembang menjadi sebuah negara yang selamat untuk semua tanpa mengira agama, kaum, jantina dan kewarganegaraan.
Sebagai sebuah negara yang acap kali melaungkan ungkapan dan memaparkan imej sebagai pendukung demokrasi, maka siasatan sebegini yang membuang masa semua pihak harus dihentikan.
Sekiranya perbuatan membuli aktivis masyarakat berterusan, ia akan mengundang kemarahan rakyat.
NIK AZIZ AFIQ, Kuala Lumpur.