SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas pengumuman kerajaan pada 12 Ogos lalu berhubung cadangan mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 secara mandatori kepada seluruh rakyat bagi mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok menjelang Oktober ini.
Perkara itu akan diputuskan kerajaan selewat-lewatnya September ini sebaik sahaja kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin selesai sepenuhnya.
Individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin Covid-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.
Bagi saya, sekiranya langkah itu dilaksanakan, ia bermakna kerajaan sengaja memberi ‘peluru’ kepada golongan antivaksin untuk menyerang balas.
Ini kerana ia boleh mencetuskan demonstrasi rakyat secara besar-besaran seperti yang berlaku di Perancis, Australia, Britain dan Itali apabila orang ramai membantah langkah mewajibkan suntikan vaksin, pengenalan pasport vaksin dan pelbagai sekatan terhadap individu yang tidak mengambil vaksin.
Walaupun niat kerajaan baik tetapi perlu berhati-hati kerana golongan antivaksin dipengaruhi oleh emosi dan bukan hujah secara logik. Oleh sebab itu, baru-baru ini ada pemimpin mereka yang dengan sengaja memaki orang yang mati kerana Covid-19.
Kerajaan perlu menggunakan pendekatan psikologi termasuk memujuk dan bukannya sengaja mencurah minyak ke dalam api emosi yang cukup sukar untuk dikawal.
Satu lagi yang menarik untuk direnung adalah kajian oleh Universiti Carnegie Mellon, Amerika Syarikat baru-baru ini bahawa majoriti yang berpendidikan peringkat doktor falsafah (PhD) di negara itu mengambil pendirian menolak vaksin.
Fenomena sama mungkin berlaku di Malaysia. Oleh itu, kempen yang dijalankan bagi menarik rakyat menerima vaksin harus disertakan dengan hujah-hujah ilmiah.
MINAH KARAN, Kuala Lumpur.