SAUDARA PENGARANG,
LAZIMNYA apabila tiba bulan Muharam yang menandakan kedatangan tahun baharu Hijrah, peristiwa hijrah Nabi SAW dari kota Mekah ke kota Madinah akan dibicarakan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.
Peristiwa hijrah dilihat relevan dengan kehidupan masyarakat Islam pada hari ini yang sedang menghadapi situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir. Terdapat pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dalam menghadapi dugaan kehidupan.
Pertama, melakukan strategi dan perancangan yang tersusun dan kemas. Nabi SAW telah memberikan contoh melakukan perancangan hijrah antaranya menyediakan pengganti untuk berada di tempat tidur baginda, kaedah menghantar bekalan makanan, mengatur laluan perjalanan dan bersembunyi di gua Thur.
Dalam situasi sekarang, perancangan pihak kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 adalah suatu contoh perancangan dan usaha yang baik seperti mewujudkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memastikan wujud imuniti kelompok dengan pemberian vaksin.
Kedua, pengorbanan perlu dilakukan dalam mencapai matlamat hidup seperti yang telah ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan.
Nabi SAW sendiri telah melakukan pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta dengan berhijrah yang menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh alam.
Ketiga, dalam menghadapi Covid-19 kita perlu mempunyai sifat sabar dan tawakal kepada Allah SWT. Nabi SAW telah menunjukkan contoh kesabaran melalui pelbagai kesukaran ketika berhijrah seperti diancam bunuh, dikejar musuh dan perlu menempuh perjalanan jauh.
Dalam situasi pandemik Covid-19, masyarakat yang diuji dengan pelbagai masalah perlu bersabar dan bertawakal kepada Allah SWT di samping mengatur perancangan untuk menyelesaikan masalah.
Sikap sabar, keyakinan tinggi kepada pertolongan Allah SWT dan tidak mudah putus asa adalah resipi kejayaan dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Keempat, wabak boleh ditangani jika kerajaan dan petugas barisan hadapan mendapat sokongan dan dukungan pelbagai pihak.
Nabi SAW memberi teladan bahawa hijrah yang dilakukan memerlukan sokongan dan dukungan pelbagai lapisan usia, jantina dan agama.
Kelima, semua pihak perlu berpegang kepada semangat persaudaraan dan saling membantu dalam menghadapi pandemik.
Nabi SAW menunjukkan contoh dengan mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin serta menggalakkan mereka memberi bantuan sesama sendiri.
Peristiwa hijrah telah mendidik sifat keprihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan. Islam menganjurkan kepada setiap Muslim agar selalu peduli dengan nasib masyarakat di sekeliling.
Sepanjang tempoh rakyat Malaysia menghadapi pandemik wabak Covid-19, seluruh masyarakat telah menunjukkan keprihatinan dengan memberikan bantuan kepada golongan yang terkesan tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
Demikianlah, peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang disambut dan diingati bukan hanya sekadar untuk mendengar kisah sejarah semata-mata, sebaliknya dijadikan iktibar oleh setiap orang.
AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.