SAUDARA PENGARANG,
TIDAK dinafikan, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW adalah peristiwa agung dalam sejarah perkembangan agama dan boleh dikatakan sebagai kemuncak kepada perubahan besar perkembangan Islam yang lebih kuat dan kukuh.
Firman Allah SWT maksudnya:
“Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan pelbagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” (Surah Ali ‘Imran ayat 195)
Namun, apabila diteliti kepada rentetan catatan perjalanan peristiwa hijrah tersebut, sudah pasti kita teringat pengorbanan golongan muhajirin.
Peristiwa itu boleh digambarkan dengan situasi dan peranan masyarakat ketika pandemik Covid-19 masa kini. Pandemik juga memberi impak besar dalam masyarakat apabila berdepan pelbagai kepayahan dan kesusahan.
Teruskan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dengan berdoa memohon pertolongan kerana Allah SWT tempat untuk kita bergantung harap.
Pada masa sama, peranan masyarakat untuk akur dengan arahan kerajaan dalam menghadapi wabak ini termasuk kekal di rumah, mengehadkan pergerakan, tidak pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan pelbagai aktiviti sosial tidak dapat dilakukan sebenarnya adalah pengorbanan besar bagi memastikan pandemik ini berakhir.
Dalam pada itu, barisan hadapan negara boleh diibaratkan sebagai golongan Ansar apabila memainkan peranan penting dalam membantu membendung penularan wabak ini.
Kesungguhan dan kesanggupan mereka mengorbankan jiwa, raga, bekerja lebih masa dan berpenat lelah hampir dua tahun mendepani pandemik perlu diberikan penghargaan khusus.
Sumbangan golongan ini tinggi nilainya. Apa yang mereka korbankan untuk kemaslahatan masyarakat sudah pasti diberikan ganjaran sewajarnya di sisi Allah SWT.
Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
Justeru, dalam memerangi dan menghadapi pandemik Covid-19, peristiwa hijrah Nabi SAW dan para sahabat boleh dijadikan sebagai panduan untuk kita menang dan tenang dalam menghadapi wabak ini.
Marilah bekerjasama dan sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah SWT agar pandemik ini terus berakhir. Tidak ada yang sebaik perancang melainkan perancangan Allah SWT jua.
DR. KHADHER AHMAD, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.