SAUDARA PENGARANG,
KITA sudah mempunyai Perdana Menteri baharu. Apa yang berlaku dalam beberapa minggu ini? Apakah kemelut dan krisis politik yang diheboh-hebohkan?
Apakah perubahan yang berlaku? Sebenarnya selain angka kes dan kematian Covid-19 yang memuncak, tidak ada apa-apa sebenarnya berlaku.
Orang UMNO yang sama tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan sokongan penuh kepada ahli parti mereka sendiri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan (PM9).
Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat majoriti untuk mengambil alih kuasa.
Sokongan mereka tidak bertambah, malah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masih bermain tarik tali dengan PH untuk mendapatkan sokongan mereka.
Tulisan ini adalah kritikan kepada diri sendiri, kritikan kepada gerakan rakyat dan kepada kawan-kawan saya yang sentiasa tidak jemu menuntut keadilan dan satu sistem baharu.
Walaupun kita boleh mengambil pendekatan mengutuk Anwar kerana sekali lagi gagal menjadi Perdana Menteri, tetapi hakikatnya kita juga gagal.
Gerakan rakyat gagal mengatasi politik elit, politik kelas atasan dan politik kelas kayangan.
Proses demokrasi kita menyebabkan kuasa rakyat terus dilelong kerana mereka tidak ada kuasa untuk menentukan dua orang Perdana Menteri terdahulu, iaitu PM8 dan PM9.
Maka golongan paling tidak berkuasa adalah golongan rakyat yang hanya boleh menonton sandiwara dari tepi, bermain dengan telefon pintar masing-masing dan merungut tentang keadaan yang sedia wujud. Ya, kita gagal.
ARUTCHELVAN, Kuala Lumpur.