Gaji pekerja kontrak di bawah garis kemiskinan - Utusan Malaysia

Gaji pekerja kontrak di bawah garis kemiskinan

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 26 Julai lalu, sekumpulan doktor kontrak di hospital kerajaan mengadakan protes di seluruh negara bagi menggesa kerajaan melunaskan dua perkara, iaitu menerima mereka sebagai pegawai tetap dan diberi peluang melanjutkan pelajaran.

Sebenarnya nasib mereka lebih baik berbanding graduan perakaunan seperti saya. Selepas menerima segulung ijazah tiada kerja yang tersedia. 

Terpaksa cari di sana sini siang dan malam. Berbeza betul dengan kawan-kawan graduan perubatan. Habis belajar, keluar dari universiti sudah ada jawatan. 

Masing-masing mendapat gelaran doktor. Gaji lebih tinggi berbanding graduan lain yang lulus dalam bidang perakaunan, kejuruteraan dan sains sosial. Gaji permulaan bagi doktor kontrak gred UD43 adalah RM3,611.

Sebab itu saya berasa terpanggil untuk meluahkan perasaan apabila doktor berstatus kontrak cuba melawan arus dan mencabar pemerintah. 

Mereka menuntut diserap ke jawatan tetap dengan segera yang menawarkan banyak kelebihan seperti pencen di hari tua. Sebab itu, jawatan kosong perkhidmatan awam ada 100 tempat, yang memohon pula mencecah 50,000 orang.

Sepatutnya doktor kontrak ini menerima apa yang kalian sedang dapat sekarang. Nama sahaja kontrak, tapi kemudahan dan kelebihan hampir serupa dengan mereka yang berjawatan tetap.

Walaupun jawatan kontrak, gaji setiap bulan masih ada dan masuk ke dalam akaun bank secara automatik. Ada slip gaji sama seperti mereka yang bekerja tetap. 

Kalau rasa hendak membeli kereta atau telefon bimbit canggih, masih boleh selagi mampu. Kalau terasa hendak cuti, peruntukan untuk bercuti sentiasa diberi tiap-tiap tahun seperti yang berjawatan tetap.

Kemudahan perubatan pun tersedia sama seperti yang berstatus tetap. Hendak apa lagi?

Jika hendak dibandingkan dengan jawatan kontrak skim lain, rasanya jauh panggang dari api. Contohnya perjawatan kontrak Short-Term Employment Program (MyStep) yang sekarang ini banyak terpakai di mana-mana agensi kerajaan. 

Sudahlah kadar gaji terlalu kecil antara RM1,400 hingga RM2,000 sebulan, tiada pula elaun dan keistimewaan lain.

Gaji yang diterima jauh lebih rendah berbanding pendapatan garis kemiskinan (PGK) purata negara sebanyak RM2,208 sebulan.

Mesej saya senang sahaja, terima seadanya dan bersyukur dengan apa yang kita dapat. Beratus ribu orang lagi yang berada di luar sana mengharapkan dapat kerja dalam sektor kerajaan kerana mereka tahu kelebihannya. 

Kalau mendapat jawatan kontrak pun mereka sanggup bekerja, asalkan ada daripada tiada.

Sebaliknya para doktor kontrak sekarang mahu mendesak kerajaan untuk diserap ke jawatan tetap yang implikasi kewangan kepada kerajaan cukup besar yang perlu dibayar sampai ke hujung usia. 

Kalau dapat disambung kontrak tahun ke tahun pun bersyukurlah banyak-banyak. Kenanglah nasib orang sekeliling terutama graduan lain yang lebih sengsara mahu bekerja dalam bidang yang dipelajari tetapi tidak dapat walau sudah 10 tahun memohon.

Tidak mustahil jika kita terus bersyukur dan buat kerja dengan ikhlas, rezeki tidak terduga akan sampai kepada kita suatu hari nanti. Tetapi jika kita bertindak melawan arus dan cuba berkeras, jangan kesal nanti kerajaan bertindak terhadap kita.

SYAHMI AIMAN NASARUDDIN, Serdang, Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya