Elak tertipu dengan dapat maklumat daripada pelbagai sumber - Utusan Malaysia

Elak tertipu dengan dapat maklumat daripada pelbagai sumber

PENGGUNA media sosial boleh mengelak ditipu berita palsu dengan cara mengamalkan budaya penyelidikan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ERA digital menyaksikan maklumat tersebar dengan pantas dalam pelbagai bentuk. Saban hari kita menerima maklumat baharu sebaik sahaja membuka aplikasi WhatsApp, Telegram, Messenger, Instagram, Twitter, Facebook dan seumpamanya. 

Menurut perangkaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, terdapat peningkatan peratusan capaian internet isi rumah kepada 91.7 peratus pada 2020 berbanding 90.1 peratus pada 2019. Ini jelas menunjukkan majoriti penduduk Malaysia telah terdedah kepada teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Berita yang dimuat naik dalam talian selalu bercampur baur antara maklumat tulen dan palsu. Aplikasi canggih yang boleh digunakan secara percuma telah membantu penciptaan maklumat palsu. 

Maklumat palsu disampaikan dalam bentuk yang meyakinkan seperti menggunakan kepala surat atau kutipan daripada akhbar yang telah disunting. Kemudahan teknologi telah memungkinkan persembahan maklumat palsu ini menarik perhatian pengguna media sosial.

Sebaran maklumat palsu yang pantas kerana tidak perlu mengikut prosedur dan tapisan yang ketat telah menimbulkan kecelaruan bahkan dalam keadaan tertentu mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat. 

Proses perundangan yang berliku dan mengambil masa panjang juga menyebabkan proses pengadilan dan hukuman lambat dilaksanakan terhadap penyebar berita palsu terbabit.

Oleh itu, antara langkah kendiri yang boleh diamalkan oleh pengguna media sosial bagi mengelak mereka tertipu dengan berita palsu adalah dengan mengamalkan budaya penyelidikan. 

Penyelidikan bukan bermaksud semua proses perlu bermain dengan angka dan statistik atau teori-teori ilmu yang hebat serta sukar difahami. Penyelidikan juga bukan bermaksud perhatian hanya tertumpu kepada subjek khusus bidang tertentu seperti sains tulen, sains sosial dan kemanusian. 

Sebaliknya penyelidikan boleh dilihat sebagai satu proses penilaian sesuatu maklumat yang dilakukan secara tersusun rapi, sah dan boleh dipercayai.

Antaranya dengan mengumpul maklumat dari pelbagai sumber, iaitu tidak bergantung kepada satu atau dua sumber sahaja.

Ilmu penyelidikan ini perlu dijadikan budaya dalam kalangan pengguna media sosial. Justeru, amat wajar setiap individu meningkatkan ilmu penyelidikan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. 

Pengajian di peringkat ini bukan bertujuan untuk masa depan kerjaya semata-mata, bahkan mampu membangunkan minda kritis, merdeka dan terbuka.

PROFESOR DR. AZMAN CHE MAT, UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya