SAUDARA PENGARANG,
KITA sedang berhadapan dengan krisis ekonomi berpunca daripada penularan pandemik Covid-19.
Berbeza dengan krisis ekonomi sebelum ini yang tertumpu kepada sektor dan wilayah tertentu, krisis kali ini tiada pihak terkecuali.
Bermula krisis kesihatan, kemudian beralih kepada krisis ekonomi sehingga keyakinan rakyat pada paras terendah untuk berbelanja kecuali barangan keperluan harian kerana keadaan semasa yang memaksa mereka berjimat cermat.
Para peniaga tidak berani mengambil pekerja baharu, membuka cawangan baharu dan menambah peralatan baharu. Sementara, para pekerja tidak berani berbelanja seperti sebelum ini kerana risau sekiranya gaji dipotong pada masa akan datang dan lebih menakutkan, diberi cuti tanpa gaji atau diberhentikan oleh majikan.
Buktinya, Jabatan Perangkaan melaporkan purata gaji rakyat Malaysia menurun sebanyak sembilan peratus kepada RM2,933 pada 2020. Pendapatan purata isi rumah juga menurun sebanyak 11.3 peratus kepada RM5,209 pada 2020.
Secara keseluruhannya, jumlah pengangguran pada Jun tahun ini mencatatkan sebanyak 768,700 orang iaitu pada kadar 4.8 peratus meningkat berbanding Mei sebanyak 4.5 peratus.
Semakin banyak pihak tidak berbelanja, semakin kurang aktiviti ekonomi, maka lebih ramai akan hilang pekerjaan dan seterusnya menjerumus negara dalam kemelesetan ekonomi.
Ibarat pendarahan yang mengalir keluar, ia perlu dihentikan segera. Begitu juga keadaan ekonomi, kerisauan untuk berbelanja perlu dipulihkan segera supaya negara dapat keluar daripada krisis ekonomi berpanjangan.
Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memulihkan keyakinan rakyat untuk berbelanja adalah dengan memastikan polisi yang dirangka adalah jelas dan konsisten dan mengelakkan penguatkuasaan terpilih.
Penutupan sektor ekonomi yang berterusan terlalu lama bersama strategi yang sama pasti menemui kegagalan. Kerajaan wajib seimbangkan antara kepentingan kesihatan dan ekonomi dengan tidak memisahkan kedua-duanya.
Pandangan yang menyatakan kerajaan perlu memilih salah satu antara kesihatan atau ekonomi adalah dangkal dan tidak berpijak di bumi nyata. Ini kerana sekiranya kita membuka ekonomi secara terburu-buru tanpa mengira faktor kesihatan, ia akan menyebabkan lebih ramai terkorban.
Penutupan aktiviti ekonomi pula secara keseluruhan akan menyebabkan bukan sahaja rakyat kehilangan pendapatan, malah mengurangkan hasil kerajaan seterusnya menyebabkan kemampuan pemerintah berbelanja kepada sektor kesihatan menjadi lebih terhad.
Kedua, kerajaan perlu berani mengisi kelompangan yang ditinggalkan oleh perbelanjaan dan pelaburan swasta dengan meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan awam.
Kerajaan perlu berani menggunakan solusi di luar kebiasaan dengan membuat pinjaman dalam negara bagi menampung perbelanjaan dan pelaburan.
Pinjaman dalam negara dapat mengurangkan risiko tukaran asing dan pada masa sama dapat memberi pulangan selamat dan konsisten kepada institusi tempatan.
Kadar had nisbah hutang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan sebanyak 60 peratus perlu ditingkatkan supaya tidak menjadi penghalang usaha kerajaan memulihkan aktiviti ekonomi sehingga rakyat kembali yakin untuk berbelanja.
Akhir sekali, kerajaan perlu mengambil kesempatan daripada krisis ekonomi dan kesihatan untuk menstruktur semula sistem cukai supaya lebih adil mengikut kelas masyarakat termasuk mengenakan cukai keuntungan luar biasa terhadap pengeluar sarung tangan getah dan syarikat lain yang mencatat peningkatan pendapatan ketika pandemik.
Selain itu, pergantungan keterlaluan majikan kepada buruh asing perlu diatasi segera.
Kebergantungan terhadap buruh asing telah menekan paras upah menjadi rendah sehingga menyebabkan graduan terpaksa menerima upah yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka.
AZHA ABDULLAH, Ipoh, Perak.