Bimbang peluru berpandu, ejen perisik China - Utusan Malaysia

Bimbang peluru berpandu, ejen perisik China

IMEJ satelit menunjukkan 119 silo yang sedang dibina bagi menempatkan peluru berpandu balistik antara benua di Yumen, China. - IHSAN MIDDLEBURY INSTITUTE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA cukup bimbang apabila membaca laporan eksklusif akhbar The Washington Post baru-baru ini bahawa China sedang membina 119 silo baharu untuk menempatkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) di padang pasir di barat laut bandar Yumen, wilayah Gansu.

ICBM yang membawa senjata nuklear kebiasaannya dilancar ke altitud orbit rendah bumi dan sangat sukar untuk dipintas serta dimusnahkan oleh sistem pertahanan moden.

Pendedahan itu berdasarkan imej satelit yang dikaji penyelidik di James Martin Center for Nonproliferation Studies, Middlebury Institute of International Studies at Monterey, Amerika Syarikat.

Tindakan China meningkatkan keupayaan ICBM bersenjata nuklear yang boleh sampai ke negara ini amat bertentangan dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN untuk mengurangkan atau menghapus terus senjata dahsyat itu. 

Perkembangan terbaru ini perlu dijadikan peringatan ketika merangka dasar luar Malaysia di bawah Perdana Menteri baharu.

Ini kerana langkah menambah senjata sedemikian membuktikan China mengamalkan polisi perluasan kuasa dan sistem persenjataan mereka bukan semata-mata untuk mempertahankan diri.

Negara-negara yang berniat mempertahankan diri tidak akan meningkatkan keupayaan ICBM di tapak kekal kerana semasa peperangan, ia akan diserang oleh musuh terlebih dahulu.

ICBM hanya berkesan ketika serangan gelombang pertama yang dahsyat ke sesebuah negara ketika musuh belum sempat bersedia.

Benarkah cakap-cakap dalam laman sembang internet bahawa peningkatan keupayaan ketenteraan dan teknologi China serta langkah merekrut ramai perisik bertujuan mewujudkan dunia yang dikuasai ideologi komunis sepenuhnya? 

Saya juga ada terbaca laporan portal berita, Mail Online pada 9 Ogos lalu bahawa ejen perisik China dikesan berada dalam kalangan 34,000 pemohon visa British National (Overseas) dari Hong Kong yang mahu menetap di Britain.

Mereka ialah sleeper agents (ejen-ejen tidur) yang akan menetap dalam tempoh lama di sesebuah negara bagi mendapat kepercayaan masyarakat setempat terlebih dahulu.

Saya bimbang program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) yang akan dibuka semula pada Oktober ini dengan sasaran menarik pejuang prodemokrasi dari Hong Kong yang mahu berpindah ke negara ini akan turut dijangkiti ‘virus’ ejen-ejen tidur ini.

HANG NADIM, Kuala Lumpur.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya