SAUDARA PENGARANG,
LANGKAH Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sekolah dianjakkan ke 3 Oktober ini berbanding perancangan asal pada 1 September bermakna sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang telah diperkenalkan sejak dua tahun lalu akan terus dilaksanakan.
Mengikut perancangan asal, PdPR yang telah memasuki fasa ketiga akan berakhir pada 31 Ogos ini.
Langkah kementerian selaras dengan harapan ibu bapa sendiri agar PdPR diteruskan berikutan situasi kes jangkitan Covid-19 yang tidak menunjukkan penurunan ketara.
Langkah meneruskan PdPR bermakna ibu bapa tidak boleh menarik nafas lega kerana beban kerja mereka akan bertambah.
Sepanjang PdPR berlangsung, banyak keluhan ibu bapa berkaitan masalah yang dihadapi. PdPR itu sendiri memerlukan kerjasama daripada ibu bapa untuk memantau dan menyediakan peranti tertentu bagi memastikan pelaksanaan kaedah tersebut berjaya.
PdPR menyebabkan beban ibu bapa yang bekerja semakin bertambah. Pertembungan tugas memantau anak-anak menghadapi PdPR dan tugas hakiki yang ditetapkan oleh majikan menjadikan seseorang lebih tertekan.
Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 mendapati hampir setengah juta rakyat Malaysia mengalami tekanan dan depresi.
Apa yang memeranjatkan, kajian sama mendapati 424,000 kanak-kanak juga mengalami masalah kesihatan mental.
Amat membimbangkan jika tekanan yang dihadapi sepanjang PdPR menjadi penyumbang kepada statistik ini.
Bagi mengelak keadaan tersebut berlaku, ibu bapa perlu sentiasa berfikiran positif sepanjang menguruskan PdPR anak-anak. Ibu bapa perlu pandai mengawal emosi dan tingkah laku kerana ia diperhatikan oleh anak-anak.
Melihat keadaan orang lain yang jauh lebih susah dapat mengurangkan ketegangan yang dihadapi dan menjadikan kita lebih rasional untuk bertindak.
SITI ROHANA DAUD, UiTM Cawangan Melaka.