Tertidur ketika PdPR boleh berlaku - Utusan Malaysia

Tertidur ketika PdPR boleh berlaku

Golongan M40 juga berharap anak-anak mereka diberi peluang untuk mengikuti pembelajaran prasekolah di sekolah kebangsaan ekoran yuran tinggi yang dikenakan oleh sekolah swasta. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN kes Covid 19 yang mencecah sehingga ke empat angka telah menimbulkan kerisauan rakyat dan kerajaan telah mengambil langkah melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa untuk menjamin keselamatan semua. 

Rentetan daripada itu, penutupan sekolah telah dipanjangkan dan digantikan dengan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

Penutupan sekolah kali ini disambut baik memandangkan peningkatan kes Covid- 19 agak membimbangkan dengan kadar kematian tinggi dan berlaku peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh PdPR prasekolah dilaksanakan, guru-guru perlu bersedia daripada aspek fizikal dan mental.

Kita sedia maklum mengurus pembelajaran kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun secara dalam talian memerlukan kesabaran tinggi. 

Guru bukan sahaja menghadapi masalah untuk memastikan kanak-kanak fokus dalam pembelajaran tetapi perlu melayan rungutan ibu bapa yang sudah tentu boleh memberi kesan terhadap tumpuan guru dalam mendidik.

Pelbagai usaha kreatif yang dilaksanakan oleh guru-guru prasekolah dalam memastikan kanak-kanak boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) walaupun melalui PdPR. 

Rata-rata guru cuba meningkatkan kemahiran mereka dalam penyampaian dengan mengikuti kursus dan juga mencari ilmu melalui YouTube berkaitan teknologi pengajaran baharu. 

Selain menggunakan teknologi, kanak-kanak disediakan dengan bahan berbentuk modul lengkap dan latihan bagi memastikan masa di rumah digunakan sebaik mungkin. 

Namun, perlu juga diberi ruang kepada kanak-kanak untuk melakukan aktiviti belajar melalui  bermain supaya tidak membosankan. 

Kanak-kanak lebih mudah menguasai kemahiran 3M sekiranya pembelajaran dijalankan secara menyeronokkan dan tidak mungkin berlaku kes mereka tertidur di hadapan komputer riba. 

Tumpuan kanak-kanak terhadap penggunaan gajet juga perlu diambil kira kerana ia akan memberi kesan terhadap kesihatan mereka. Oleh itu, PdPR secara dalam talian tidak perlu dilaksanakan terlalu lama. 

Sediakan aktiviti berasaskan pendekatan projek agar ibu bapa dapat melibatkan diri bagi menyokong pembelajaran anak-anak di rumah. 

Usaha ini dapat memastikan setiap murid tidak ketinggalan dalam mendapat pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

AZIZAH ZAIN

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya