SAUDARA PENGARANG,
SABAN hari, laporan berita tempatan memaparkan ramai mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 tidak mengira umur, jantina dan tahap kesihatan.
Dalam situasi sedemikian, seluruh ahli keluarga mangsa perlu bersedia dari segi mental dan fizikal, lebih-lebih lagi jenazah akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Umum mengetahui bahawa mangsa Covid-19 yang meninggal dunia adalah dikira mati syahid. Mati syahid yang dimaksudkan ialah syahid akhirat disebabkan meninggal dunia kerana wabak.
Mereka akan dikurniakan pahala mati syahid, namun tidak termasuk hukum mati syahid dunia dan akhirat iaitu tidak perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya.
Gelaran syahid ini diberikan kerana keistimewaan kurniaan Allah SWT kepada mereka atas dugaan, kedahsyatan, kesakitan serta kepedihan ujian yang telah dihadapi di atas muka bumi ini.
Covid-19 merupakan wabak yang berbahaya dan menyeksa mangsanya sebelum meninggal dunia. Namun hikmahnya, ganjaran pahala yang amat besar di sisi Allah SWT kelak menyamai pahala syahid di jalan Allah.
Dalam keadaan ini, ahli keluarga perlu mengambil tahu beberapa perkara yang perlu dilakukan sejurus selepas kematian. Ahli keluarga tidak seharusnya terus bersedih dengan tidak melakukan apa-apa tindakan kerana jenazah tidak dapat dilihat dan dimandikan seperti jenazah biasa.
Maka tindakan pertama yang perlu dilakukan ialah solat jenazah secara ghaib. Solat boleh dilakukan pada bila-bila masa setelah jenazah dimandikan dengan empat takbir, hanya berbeza pada niat.
Ahli keluarga juga boleh memaklumkan sepantas dan seramai mungkin kepada kenalan-kenalan dalam alam maya yang lain agar mereka turut dapat solat jenazah ghaib dan mendoakan kebaikan bagi mangsa yang telah meninggal dunia.
Jika solat jenazah secara fizikal di rumah mampu memuatkan 50 hingga 100 orang, namun solat jenazah secara ghaib boleh dilakukan tanpa sempadan ruang bahkan sehingga beribu orang di kediaman masing-masing sahaja. Semakin ramai, maka semakin baik untuk mendoakan kebaikan si mati.
Tindakan kedua setelah solat adalah berkaitan semua hutang dan tanggungan harta si mati. Ia perlulah disempurnakan oleh ahli keluarga sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan.
Hal ini amat perlu dititikberatkan oleh ahli keluarga kerana komunikasi bersemuka adalah terbatas sepanjang sekatan pergerakan penuh. Saudara, sahabat dan jiran terdekat perlu dihubungi bagi mengetahui status hutang, harta pinjaman dan sebagainya sekiranya ada.
Seterusnya, tindakan ketiga adalah berdoa, bacaan al-Quran dan tahlil boleh dilakukan secara sendirian atau dalam talian. Melalui teknologi terkini, ramai ahli keluarga dapat berkumpul secara dalam talian serentak bagi sama-sama membaca surah Yasin, tahlil dan doa selamat walau di mana jua berada.
Terdapat juga yang mengakhiri sesi tahli tersebut dengan tazkirah oleh ustaz yang dijemput khusus untuk memberi motivasi agama dan sokongan rohani kepada semua ahli keluarga. Ia sedikit sebanyak mampu membantu meringankan kesedihan yang dihadapi.
Kesimpulannya, mangsa Covid-19 yang meninggal dunia dikira syahid akhirat yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT. Meskipun begitu, umat Islam digalakkan untuk berdoa agar diberi kesudahan dengan cara baik seperti doa Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban:
“Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”
ABDUL HANIS EMBONG, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).