SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN berdepan pandemik Covid-19, Malaysia masih mampu menjana pelaburan yang memberangsangkan sepanjang 2021.
Pada suku pertama tahun ini sahaja, jumlah pelaburan yang diluluskan kerajaan adalah RM80.6 bilion, iaitu 95.6 peratus lebih tinggi berbanding suku yang sama pada 2020.
Kerajaan juga baru-baru ini mengumumkan pelaburan RM8.5 bilion syarikat Austria, AT&S yang merupakan pemain besar dunia dalam bidang elektronik untuk membina kilang pertamanya di Asia Tenggara. Khabarnya kita telah berjaya ‘merampas’ pelaburan itu daripada Vietnam.
Walaupun terdapat petunjuk yang memberangsangkan untuk sektor ekonomi kita, apa yang lebih penting lagi ialah kerajaan perlu bijak mengambil peluang bagi memastikan ekonomi terus berkembang semasa pasca Covid-19.
Menaik taraf infrastruktur awam termasuk pengangkutan wajar diberi tumpuan oleh kerajaan kerana mampu menghidupkan rantaian bekalan yang besar dengan cepat dan boleh membawa kesan pengganda ekonomi yang berimpak tinggi.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, dalam Belanjawan 2021, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan kepada projek infrastruktur pengangkutan negara. Ini hanya kira-kira lima peratus daripada keseluruhan belanjawan dan sudah tentu tidak mencukupi.
Sebagai seorang yang dilatih dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek, saya berpendapat, kerajaan perlu berani untuk membuat keputusan radikal dalam menghidupkan projek infrastruktur berskala besar dan ikonik seperti kereta api berkelajuan tinggi (HSR) untuk laluan dalam negara.
Bukan sahaja faedah dari segi nilai pengganda ekonomi, bayangkan berapa banyak kawasan yang akan dapat dibangunkan sepanjang laluan projek HSR.
Walaupun ada suara sinis yang menyoal, adakah penumpang pasca Covid-19 akan naik HSR nanti, namun saya percaya dengan adanya kereta api ini, penawaran akan dengan sendiri menjana permintaan.
Lagipun, sesudah pandemik, lebih ramai yang ‘teringin’ ke sana sini, melepaskan kemaruk akibat terperuk di rumah. Apatah lagi kalau perjalanan itu lebih pantas dan selamat.
Projek infrastruktur pengangkutan seperti HSR ini besar manfaatnya kepada negara dan mampu untuk jump-start (lompat mula) ekonomi negara pasca Covid-19.
Namun, ini tidak bermakna kerajaan harus mengabaikan sektor-sektor lain yang turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Lihatlah di banyak negara di seluruh dunia, strategi membangun projek-projek infrastruktur berskala besar seperti kereta api dan lebih raya yang telah diguna pakai untuk merancakkan ekonomi ketika kemelesetan.
Baik dari Amerika Syarikat hingga ke Jepun dan China, dari pasca Perang Dunia Kedua sehingga selepas krisis ekonomi global pada 2009. Akhirnya, ekonomi rancak, rakyat dipermudah dengan kemudahan pengangkutan baharu, kerajaan juga yang untung akhirnya.
Lihat Indonesia dan Thailand yang sudah jauh lebih ke hadapan berbanding Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan awam bersepadu.
Malahan projek kereta api cepat Jakarta-Bandung sudah lebih 70 peratus siap dan menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo, projek ikonik pengangkutan moden Pulau Jawa ini bakal beroperasi pada tahun depan.
Maka tidak hairanlah Indonesia menjadi ‘anak emas’ Asia Tenggara dalam menarik pelaburan asing beberapa tahun kebelakangan ini.
Strategi membangunkan sistem pengangkutan awam telah terbukti berjaya untuk merangsang ekonomi yang meleset dengan pantas di serata dunia.
Bertindak dengan cepat, supaya Malaysia terus kompetitif di mata pelabur dan komuniti perniagaan.
HAJI M.A. LATIFF, Johor Bahru, Johor.