SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, laporan akhbar mendedahkan kekosongan 6,809 perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cukup kritikal dan perlu diisi segera terutama membabitkan pegawai kanan dan pegawai rendah di jabatan-jabatan tertentu.
Kekosongan itu disebabkan beberapa faktor antaranya bersara wajib dan bersara atas pilihan sendiri.
Menurut Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass, pengisian kekosongan perjawatan perlu dilakukan bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat termasuk memastikan kualiti siasatan tidak terjejas.
Kekurangan perjawatan PDRM disifatkan sebagai kritikal jika diukur dari sudut nisbah polis dengan penduduk di negara ini yang jauh ketinggalan dengan standard piawaian ditetapkan Polis Antarabangsa (Interpol) iaitu 1:250.
Di bandar-bandar besar seperti di kawasan pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya misalnya nisbahnya adalah 1:1,213.
Dalam pada itu, saya perhatikan terdapat kekurangan sangat nyata dari segi bilangan wanita di peringkat kepimpinan tertinggi PDRM.
Kita dapati sekarang ini terdapat hanya seorang wanita sahaja di peringkat jawatan tertinggi iaitu Ketua Polis Negeri Perlis, Datuk Surina Saad.
Di peringkat ketua-ketua jabatan di Bukit Aman pula, iaitu jawatan pengarah, ketiadaan wanita sebagai pengarah sangat ketara. Dari 10 jawatan pengarah, tiada seorang pun wanita berada di peringkat ini.
Kita tidak mengetahui kenapa perkara ini berlaku dalam PDRM sedangkan di dalam perkhidmatan awam, dasar kerajaan mewujudkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pengurusan dan pembuat dasar telah lama tercapai.
Kita harap Ketua Polis Negara, Suruhanjaya Polis, Kementerian Dalam Negeri dan menteri berkenaan sendiri harus sama-sama berusaha secara serius ke arah menambah lantikan wanita di peringkat timbalan dan ketua polis negeri, timbalan pengarah dan pengarah jabatan Bukti Aman.
RAHMANPIN, Shah Alam, Selangor.