SAUDARA PENGARANG,
PERASAAN takut dan risau masyarakat terhadap kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaharu yang bermula 1 Jun lalu adalah lumrah, terutama apabila melibatkan perkara di luar bidang kuasa kita.
Kerisauan bertambah apabila timbul persoalan, cukupkah simpanan untuk memenuhi keperluan harian kerana telah memperuntukkan sebahagian simpanan untuk membayar premium sijil takaful dan polisi insurans?
Sebenarnya, memiliki sijil takaful atau polisi insurans akan membantu kita membayar sama ada sepenuhnya atau sebahagian bil hospital ketika dana kecemasan tidak mencukupi.
Dan jika berlaku kematian, manfaat insurans dan takaful akan menanggung waris dalam memastikan hidup dapat diteruskan.
Oleh itu, perkara terakhir yang patut difikirkan adalah untuk menyerah balik sijil takaful atau polisi insurans sekiranya kita mengalami masalah kewangan kerana pandemik Covid-19.
Jika melakukan penyerahan sekarang, kita akan dikenakan caj premium yang lebih tinggi apabila ingin membeli produk takaful atau insurans dengan manfaat serupa pada umur lebih lanjut.
Sebagai alternatif, kita boleh berbincang dengan pengendali takaful atau syarikat insurans tentang opsyen untuk meneruskan perlindungan seperti mengurangkan bayaran premium tetapi ini juga akan mengurangkan manfaat perlindungan yang diberikan.
Terdapat juga produk insurans yang menawarkan caj premium rendah yang lebih bersesuaian dengan kemampuan kewangan.
Tambahan, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) mengumumkan pada 22 Jun lalu bahawa semua penginsurans hayat dan pengendali takaful keluarga telah melanjutkan Program Bantuan Covid-19 bagi penangguhan pembayaran premium dan sumbangan takaful dan langkah-langkah bantuan tambahan sehingga 31 Disember ini untuk masyarakat terjejas dari segi kewangan akibat pandemik.
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pula membuat pengumuman semua penanggung insurans am akan terus menawarkan bantuan tambahan kepada pemegang polisi yang terjejas akibat pandemik sehingga hujung tahun ini.
LIAM pada Mac lalu juga melaporkan bilangan pemilik polisi yang tidak meneruskan perlindungan insurans pada 2020 adalah yang terendah dalam tempoh lima tahun terdekat.
Laporan seperti ini amat menggalakkan kerana ia menunjukkan pemegang polisi insurans sedar akan kepentingan meneruskan perlindungan insurans dalam keadaan tidak menentu sekarang.
Dalam pada itu, kita perlu tahu tentang perlindungan disediakan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) untuk pemilik sijil takaful dan polisi insurans.
Menurut Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, PIDM melindungi manfaat takaful dan insurans sehingga RM500,000 di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS).
Sekiranya pengendali takaful atau syarikat insurans menjadi muflis, PIDM akan memastikan manfaat dapat diteruskan walaupun syarikat terbabit tidak dapat memenuhi tuntutan takaful atau insurans.
Perlindungan PIDM diberikan secara automatik dan tidak memerlukan sebarang permohonan serta pembayaran dengan memberi faedah termasuk faedah kematian, hilang upaya kekal dan pendapatan hilang upaya, penyakit kritikal, perbelanjaan kos rawatan/perubatan, kehilangan atau kerosakan harta benda, nilai serahan dan nilai matang.
Namun, perlindungan PIDM tidak termasuk manfaat kematangan, serahan dan pendapatan yang dibayar daripada bahagian unit sijil takaful dan polisi insurans yang berkaitan pelaburan. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www.pidm.gov.my.
IVLYNN YAP
Pengurus Besar, Komunikasi dan Perhubungan Awam PIDM