Anak-anak boleh jadi 'pembunuh senyap' - Utusan Malaysia

Anak-anak boleh jadi ‘pembunuh senyap’

WARGA emas tidak perlu berasa sedih jika anak-anak tidak melawat mereka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap sangat kritikal. 

Oleh itu,  doktor perlu membuat keputusan sukar untuk memilih pesakit yang patut dimasukkan ke ICU. 

Secara logik, mereka yang sudah berumur dan berpenyakit tiga atau empat serangkai yang mempunyai kebarangkalian untuk pulih agak rendah bukanlah calon terbaik untuk menghuni ICU walaupun keadaan mereka agak kritikal. 

Perkara ini sudah pasti menakutkan golongan warga emas tetapi mereka kena ingat, walaupun mempunyai peluang tipis untuk dirawat di ICU, kerajaan telah memberikan keutamaan kepada golongan itu untuk mendapat vaksin lebih awal daripada golongan muda.

Rebut peluang ini! Apa yang dibimbangkan, jika warga emas tidak mendaftar, vaksin akan habis diberikan kepada golongan muda. Lihat sahaja apa yang berlaku apabila kerajaan membuka peluang kepada orang muda untuk mendaftar vaksin AstraZeneca, laku seperti pisang goreng panas.

Nasihat kepada semua warga emas, jangan cepat percaya dengan cerita negatif tentang vaksin. Tidak perlu disebarkan cerita yang tidak pasti kesahihannya kepada ahli keluarga dan sahabat handai. 

Dalam pada itu, kita mungkin tertanya-tanya, adakah sudah boleh melupakan prosedur operasi standard (SOP) setelah menerima vaksin? Adakah anak cucu bebas merentas daerah melawat kita?

Jawapannya, kita masih perlu mematuhi SOP. Buat masa ini, kekal di tempat masing-masing adalah cara terbaik bagi memutuskan rantaian penyakit Covid-19.

Warga emas khususnya ibu bapa tidak perlu berasa sedih seandainya anak-anak tidak pulang ke kampung.

Sebenarnya, anak-anak boleh menjadi ‘pembunuh senyap’. Sudah banyak yang kita dengar bagaimana anak-anak yang tidak bergejala menyebabkan jangkitan kepada ibu bapa tanpa disengajakan. 

Sekiranya anak ingin pulang menziarah, anda boleh menunjukkan rasa sayang dengan menghalang kepulangan mereka. 

PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED & PROF. MADYA DR. MOHD. DZULKHAIRI MOHD. RANI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya