Sampai bila berenang dengan ‘buaya’? - Utusan Malaysia

Sampai bila berenang dengan ‘buaya’?

KERATAN akhbar 18 Mei 2021
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BEKAS atlet renang negara, Cindy Ong, 37, baru-baru ini menggemparkan industri sukan tanah air apabila mendedahkan dia seperti berenang dengan ‘buaya’ ekoran gangguan seksual yang dialaminya sejak sekian lama yang dikatakan turut melibatkan sukan gimnastik dan akuatik.

Dalam satu kejadian di luar negara ketika dia masih seorang remaja yang naif, Cindy berkata, seorang jurulatih menyentuh payudaranya dan kemudian diberitahu individu sama melakukan serangan seksual terhadap sekurang-kurangnya 10 atlet.

Namun, perkara seperti itu bukanlah sesuatu yang baharu dalam sukan tanah air. Saya masih ingat lagi seawal 2013, kita digemparkan dengan isu rogol di perkampungan sukan ketika Sukan Malaysia (Sukma).

Kemudian pada 2017, seorang penerjun negara juga pernah melaporkan isu gangguan seksual yang dilakukan oleh jurulatih terhadap dirinya.

Saya pada 18 Mei lalu dalam Forum Utusan Malaysia bertajuk Adakah Pandelela ‘minta tolong’? turut menyentuh isu sama kerana penerjun negara yang memenangi pingat emas dalam satu acara Piala Dunia Terjun FINA 2021, Pandelela Rinong turut memberi bayangan menerusi ciapan dalamTwitter, kejadian sama terjadi dalam sukan terjun.

Menteri Belia dan Sukan ketika kejadian sebelum ini ialah Khairy Jamaluddin. Walaupun ada tindakan yang diambil, namun peristiwa itu terus-terusan berlaku.

Sewajarnya penjawat jawatan itu sekarang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican  mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun supaya membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual dengan segera.

RUU itu penting bagi melindungi para wanita di luar sana termasuklah golongan atlet yang terkesan dengan isu ini.

Sukan sepatutnya menjadi tempat selamat buat para atlet, namun hari ini kita menyaksikan hakikat sebenar sisi hitam sistem sukan negara yang masih melindungi pesalah.

Walaupun Reezal Merican dan timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal cuba membantu Cindy, namun tiada tindakan tegas diambil. Jika benar mereka serius ingin melindungi atlet negara, mereka seharusnya mendesak RUU Gangguan Seksual dibahaskan di Parlimen.

Pada Februari lalu, Rina menjelaskan, draf RUU itu pada ‘tahap akhir’ dan akan dibentangkan di Parlimen apabila bersidang pada Ogos nanti. Namun, dengan kes dan kematian Covid-19 yang terus meningkat, tiada kepastian sampai bila Parlimen akan ditutup.

Semua orang boleh mengambil inisiatif bersifat jangka pendek bagi membantu Cindy dari sudut bantuan guaman tetapi tugas ahli politik yang berbentuk legislatif ini adalah dalam bentuk jangka panjang.

Dalam pada itu, sudah tiba masanya atlet profesional bersuara apa yang tidak kena dengan sistem sukan negara.

Saya yakin ramai lagi menjadi mangsa  tetapi tidak bersuara kerana takut elaun mereka ditarik dan kedudukan dalam skuad negara terancam walaupun mereka berbakat besar.

Visi Sukan Negara 2030 yang dilancarkan oleh Reezal Merican perlu menerapkan elemen hak bersuara atlet.

Jika benar Reezal Merican serius untuk membantu atlet seperti Cindy, beliau seharusnya mendesak RUU Gangguan Seksual dibahas segera, bukan sekadar mengambil aduan sahaja.

 

YUSLAINI AZMI

Ketua Wanita Muda AMK Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya