SAUDARA PENGARANG,
CO-OPBANK Pertama (CBP) ingin menjelaskan berkenaan isu kelewatan pembayaran dividen bagi tahun 2020 sebagaimana yang dibangkitkan oleh ahli CBP melalui ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 14 Jun 2021.
Kelewatan pembayaran dividen kepada ahli CBP bukanlah berpunca daripada kelewatan kelulusan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sebaliknya penyata kewangan CBP sedang di peringkat akhir pengauditan oleh juruaudit baharu yang dilantik dan dijangka selesai sebelum 31 Julai ini untuk seterusnya dikemukakan kepada SKM bagi penelitian dan pandangan.
Penukaran juruaudit ini diluluskan oleh SKM dan ia perlu dilakukan disebabkan kekangan teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Selanjutnya, CBP akan membentangkan penyata kewangan teraudit ini di mesyuarat agung perwakilan tahunan dan akan dikemukakan kepada SKM bagi kelulusan akhir termasuk kelulusan pembayaran dividen tahun 2020. Dalam konteks ini, segenap keperluan undang-undang dan peraturan perlu dipatuhi oleh CBP sebelum pembayaran dividen kepada ahli dapat dilaksanakan.
Pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran proses pengauditan. Justeru, sekali lagi CBP ingin menjelaskan bahawa kelewatan pembayaran dividen tahun 2020 ini berpunca daripada kelewatan kerja-kerja pengauditan dan tiada hubung kait dengan SKM.
Sehubungan itu, CBP memohon maaf atas kekeliruan dan kelewatan pengumuman dan pembayaran dividen kepada para ahli.
Sekali lagi, CBP ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada para ahli di atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini. Bagi sebarang pertanyaan, ahli-ahli boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan CBP melalui emel [email protected] atau di talian 1-300-88-7650.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Co-opbank Pertama