SAUDARA PENGARANG,
ANTARA langkah penting diambil kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19 ialah melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Untuk menjayakan program itu, sokongan dan kerjasama rakyat amat penting. Justeru, orang ramai harus mengetepikan segala prasangka buruk yang ditimbulkan oleh golongan antivaksin.
Rakyat mesti yakin bahawa semua keputusan dan dasar berkaitan program PICK yang dilaksanakan kerajaan adalah berlandaskan situasi, maklumat dan data semasa berkaitan dengan pandemik itu.
Kerajaan bertindak berdasarkan fiqh al-waqi iaitu pendekatan hukum berasaskan tuntutan semasa dengan mengambil kira semua aspek berdasarkan kajian dan maklumat terkini.
PICK mempunyai objektif untuk mendukung prinsip melindungi nyawa rakyat serta mempertahan dan memperkukuh sosioekonomi supaya dinamisme kehidupan masyarakat dan keutuhan sosioekonomi negara tidak terjejas teruk.
Hakikatnya, program vaksinasi kebangsaan ini menepati tanggungjawab kerajaan untuk melindungi dan mempertahan karamah al-insan (hak asasi manusia) untuk mendapatkan perlindungan kesihatan dan dan nyawa manusia serta tanggungjawab memelihara kelangsungan hidup.
Apa yang dibuat kerajaan ini menunjukkan bahawa pemerintah memahami fiqh al-aulawiyat (hukum keutamaan) dengan melihat penggunaan vaksin sebagai langkah terpenting untuk membendung pandemik Covid-19.
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Selayang Bharu, Selangor