SAUDARA PENGARANG,
SATU usaha bersepadu perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghalau Israel keluar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ini susulan penindasan dan kekejaman berterusan yang mereka lakukan terhadap penduduk Palestin sejak negara Israel tertubuh lebih 70 tahun lalu dan terbaru, keganasan yang dilakukan oleh tentera dan rakyat Israel terhadap umat Islam negara itu di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis Timur ketika Ramadan, baru-baru ini.
Rakyat Palestin tidak pernah mengecapi kedamaian semenjak penubuhan negara Israel pada 1948 dan rampasan tanah milik rakyat Palestin di Tebing Barat serta di Semenanjung Gaza oleh Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari pada 1967.
Hak rakyat Palestin juga sering dinafikan sehingga ramai terpaksa hidup merempat serta menjadi pelarian di negara-negara lain.
Penindasan dan kekejaman itu bukan hanya dilakukan oleh tentera rejim malah turut disertai beberapa persatuan dan individu yang tidak sukakan kehadiran rakyat Palestin di Tebing Barat serta di Semenanjung Gaza.
Oleh itu, sudah sampai masanya, satu tindakan tegas diusahakan masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam sebuah masyarakat bertamadun serta berpandukan undang-undang antarabangsa yang mengutamakan hak asasi manusia.
Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan adalah menghalau Israel keluar dari PBB sebagai satu isyarat jelas kepada rejim itu supaya tidak meneruskan segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan mereka terhadap rakyat Palestin.
Semenjak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah ditimbulkan olehnya terutama terhadap rakyat Palestin yang jelas bertentangan dengan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri.
Antara matlamat utama penubuhan PBB, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 1, Piagam PBB 1945 adalah untuk mengelakkan perulangan peperangan, konflik serta pertikaian yang hebat antara negara-negara, menegakkan prinsip hak asasi manusia, menjamin rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia tanpa mengira agama, bangsa dan negara.
Semua matlamat yang dinyatakan jelas tidak dipatuhi oleh Israel sejak penubuhan negara itu. Oleh yang demikian, sewajarnya Israel dihalau atau disingkir terus dari PBB. Langkah penghalauan atau penyingkiran Israel ini juga selaras dengan peruntukan peraturan yang terdapat dalam Piagam PBB sendiri.
Perkara 6, Piagam PBB 1945 menyatakan dengan jelas bahawa: “Ahli PBB yang telah berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada pertubuhan melalui perhimpunan agung atas syor Majlis Keselamatan.”
Usaha penyingkiran Israel kini dilihat mudah untuk dilakukan di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang dilihat bersimpati dengan nasib malang yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
Dengan adanya usaha penyingkiran Israel dari PBB, seluruh dunia dapat memberi pengajaran kepada rejim itu serta memaksa mereka untuk mengubah perangai buruk selama ini terhadap rakyat Palestin.
Walaupun mungkin usaha yang ingin diambil ini tidak berjaya, sekurang-kurangnya ia dapat memberi isyarat jelas kepada Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan mereka.
MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)