SAUDARA PENGARANG,
SUASANA politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nampaknya semakin bertambah rumit. Setiap lapisan masyarakat termasuk elit politik sering bercakap dengan nada yang kurang menyenangkan.
Kini nilai akhlak dan adat ketimuran sudah dicemari semata-mata bagi membolehkan seseorang individu atau pesaing politik dimalukan dan dihancurkan kredibiliti di khalayak umum agar pengaruhnya dapat dihapuskan.
Namun, dalam situasi yang tegang ini, seniman ataupun budayawan dilihat mampu memberikan sumbangan besar kepada rakyat bagi menjernihkan kekeruhan politik yang sedang berlaku. Seniman tidak harus meminggirkan diri pada saat masyarakat sedang berada dalam masalah.
Seniman harus tampil memberikan sumbangan melalui aktiviti seni dan budaya dengan harapan dapat membantu ke arah menjernihkan masyarakat yang sedang keliru dengan situasi politik tidak menentu.
Seniman tidak harus terikut-ikut dengan rentak mana-mana ahli politik dalam berkarya. Tindakan seorang seniman yang bertindak menghina logo sebuah universiti awam yang tersohor dengan menggantikannya dengan logo seekor katak serta menghina institusi beraja atas nama satira politik merupakan satu kelumpuhan moral yang serius.
Seniman tidak harus menjadi orang politik, kelak akan memusnahkan keindahan seni itu sendiri.
Kesenian mempunyai fungsi yang penting dalam kehidupan manusia. Tidak sempurna pembangunan sesebuah ummah tanpa disulami dengan pembangunan seni dan budaya. Seni amat diperlukan untuk peningkatan intelektual dan kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera.
Dalam situasi politik yang tegang dan kotor, seniman mampu untuk mengembalikan suasana ke arah yang lebih positif. Seniman boleh menganjurkan aktiviti seni dan budaya yang melibatkan elit politik.
Banyak pengajaran boleh diambil oleh elit politik daripada aktiviti seperti itu. Secara tidak langsung seniman mampu mengajak elit politik dan masyarakat beristirehat sekejap daripada kemelut yang berlaku.
Seni dan budaya sangat diperlukan untuk memberikan keseimbangan kepada masyarakat selain menjernihkan jiwa dan minda yang tercemar oleh banyaknya hal-hal politik dalam masyarakat.
Penggunaan unsur satira (menyindir) dalam seni oleh seniman dan budayawan untuk memulihkan moral elit politik boleh dilakukan dengan cara memerli dan jenaka tetapi tidak harus sehingga melanggar nilai dan adat ketimuran. Unsur satira mampu sampai kepada masyarakat meskipun dengan cara jenaka yang tidak keterlaluan.
Kebanyakan filem P. Ramlee sarat dengan unsur satira tetapi disampaikan secara jenaka yang halus dan lembut. Satira politik tersebut kekal segar dalam ingatan masyarakat sehingga ke hari ini. Satira politik haruslah lembut tetapi dalam masa yang sama juga mampu berubah menjadi satira yang menggugat.
Dalam pada itu, seniman tidak harus menjadikan kebebasan bersuara acuan Barat sebagai kiblat untuk berkarya. Satira politik harus mengikut acuan kebudayaan kita.
Seperti bait-bait lirik sebuah lagu iaitu “dalam pantun ada nasihat”. Justeru, dalam seni juga nasihat dan teguran masih boleh disampaikan tanpa menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat.
DR. ILYAS ABDULLAH
UiTM Pahang, Kampus Raub