PIDM tidak lindungi penipuan kewangan - Utusan Malaysia

PIDM tidak lindungi penipuan kewangan

PENDEPOSIT perlu sentiasa mendapatkan maklumat daripada PIDM agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI sebuah badan berkanun yang menyediakan perlindungan untuk konsumer kewangan, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hanya melindungi pendeposit yang menyimpan wang di bank atau institusi kewangan yang menjadi ahlinya.

Dalam masa sama, PIDM tidak melindungi simpanan berbentuk pelaburan dan digital seperti e-dompet, tokenisasi serta mata wang kripto.

Hasil pemantauan, perbadanan ini mendapati terdapat syarikat pelaburan menyalahgunakan logo PIDM sebagai umpan dan sekali gus memberikan tanggapan salah bahawa ‘pelaburan’ mereka dilindungi PIDM.

Dalam apa jua hal yang melibatkan wang, terutamanya dalam amaun yang banyak, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak berkongsi maklumat dengan orang lain seperti dalam media sosial.

Berikut adalah langkah-langkah waspada yang harus diingati:

1. Tiada bank, syarikat takaful dan syarikat insurans yang akan menuntut anda untuk membuat pembayaran bagi perlindungan PIDM apatah lagi melalui pemindahan dalam talian.

2. Mereka tidak akan meminta anda memberikan butiran peribadi di tempat kejadian, seperti butiran akaun bank, nombor kad kredit/debit, nombor kad pengenalan, nombor keselamatan sosial atau kata laluan.

3. Sentiasa hubungi sumber yang sepatutnya dengan menggunakan alamat e-mel atau nombor telefon yang sah seperti dari laman web atau penyata bank.

Sebelum membuat sebarang pembayaran dalam talian, sila semak nombor akaun bank atau nombor telefon melalui aplikasi Semak Mule di laman web https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Orang ramai diminta sentiasa rasa curiga apabila seseorang menghubungi dan meminta maklumat peribadi.

PIDM tidak melindungi wang yang dikebas melalui skema penipuan kewangan. Biar berjaga sekarang daripada menyesal kemudian.

IVLYNN YAP
Pengurus Besar, Komunikasi dan Perhubungan Awam PIDM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya