Perlu pantau kelakuan artis - Utusan Malaysia

Perlu pantau kelakuan artis

SUDAH sampai masanya Persatuan Seniman Malaysia mewujudkan bahagian tatatertib seperti persatuan sukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERKEMBANGAN dunia hiburan masih lagi pesat meskipun pada era Covid-19. Album nyanyian, drama dan filem terus dihasilkan, meskipun tidak pada skala seperti sebelum wabak berkenaan.

Dari semasa ke semasa, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah dunia artis, baik yang positif mahupun yang negatif. Pelbagai saluran media sosial menjadi medan sebaran maklumat tentang mereka. Sesetengahnya mempunyai pengikut yang ramai.

Memang terdapat sebahagian artis yang mempunyai penampilan dan pembawaan diri yang terpuji. Mereka menjaga tingkah laku, termasuk dalam aspek berpakaian, pergaulan, budi bahasa dan dan mematuhi norma-norma masyarakat.

Namun, terdapat antara mereka terpalit pelbagai kontroversi. Ada yang melakukan perbuatan maksiat, tidak hadir rakaman, rumah tangga yang kucar-kacir dan cerai-berai serta melakukan penipuan. 

Pada Ramadan, ada pula artis lelaki yang secara terbuka tidak berpuasa. Itu belum lagi soal pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Memang benar bahawa artis bukan malaikat, tetapi mereka ini mampu menjadi ikutan masyarakat, khasnya generasi muda. Gaya hidup dan perilaku yang negatif boleh memberi teladan yang tidak baik kepada massa.

Pada saya, persatuan berkaitan artis, seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), perlu lebih berperanan untuk memantau dan menasihati para artis. Jika persatuan sukan ada bahagian tatatertib, hal yang sama patut ada untuk persatuan artis.

Perlu ada garis panduan tata kelakuan untuk para artis. Perkara ini boleh digubal oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dengan kerjasama persatuan berkaitan artis.

Aspek semak dan imbang (check and balance) perlu ada, agar dunia hiburan kita menjadi lebih bersih, berdisiplin dan mematuhi norma masyarakat serta negara. Dialog perlu diadakan di antara pihak kementerian itu dan persatuan artis, supaya perkara-perkara berbangkit dapat diatasi.

Persatuan artis pula sepatutnya menjadi payung tempat artis bernaung dan mengadu. Soal kebajikan artis juga perlu diambil tahu. Kepada siapakah artis hendak mengadu?

Saya masih ingat pada dekad-dekad lalu, persatuan hiburan dipimpin oleh Allahyarham Aimi Jarr dan Datuk Ahmad Daud. Mereka dihormati dan banyak membantu anak-anak buah.

Seni bukan semata-mata untuk seni, tetapi juga untuk masyarakat. Para artis mempunyai saham untuk sama-sama membentuk masyarakat seperti dalam Rukun Negara yang kelima, Kesopanan dan Kesusilaan.

Maka bagi mencapai situasi menang-menang, persatuan artis, pihak kerajaan dan penggiat hiburan perlu duduk semeja bagi mengatasi sebarang lompang yang wujud dalam dunia hiburan. Jadikan pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh sebagai moto.

 

MUSTAFFA SIRAJ

Batu Pahat, Johor

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya