SAUDARA PENGARANG,
Tindakan segelintir pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melakukan perbuatan biadab dengan menconteng baju sekolah dengan cacian, memaki guru dan melempar buku sekolah ke dalam sungai bukan sahaja menconteng arang di muka sendiri bahkan turut mencemarkan nama baik keluarga dan sekolah.
Keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja moden semakin menjadi-jadi akibat terlalu meniru perlakuan tidak bermoral yang dipaparkan dalam gajet.
Berakhirnya SPM bukan bermaksud tamatnya episod suka duka dalam menuntut ilmu, sebaliknya pelajar akan berdepan lebih banyak dugaan dan pengalaman dalam proses menuntut ilmu di masa akan datang.
Remaja perlulah memenuhi dada mereka dengan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan untuk dipraktikkan dalam urusan pentadbiran nanti.
Ini kerana pemimpin yang berilmu dapat membantu masyarakat dan negara melalui kebolehan berfikir secara kritis dan inovatif.
Melihat kembali kepada sejarah pembentukan negara, golongan ilmuwan dan negarawan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berjaya merealisasikan impian rakyat untuk menjadikan Tanah Melayu sebuah negara merdeka.
Tanpa golongan cerdik pandai seperti beliau, kemerdekaan negara hanya akan menjadi satu angan-angan sahaja. Kejayaan sebegini patut menjadi contoh dan teladan kepada remaja hari ini supaya mereka sedar bahawa ilmu pengetahuan yang dimiliki dapat memperbaiki sesuatu keadaan ke arah yang lebih baik.
Bagaimanapun, ilmu pengetahuan sahaja tidak cukup untuk menggelar remaja kini sebagai pemimpin masa hadapan sekiranya akhlak buruk. Pembentukan akhlak perlu dipandang serius terutamanya dengan kemasukan budaya Barat yang sedikit sebanyak mempengaruhi anak-anak muda masa kini.
Sekadar peringatan, SPM hanyalah permulaan. Teruslah menuntut ilmu di samping mengukuhkan akhlak.
MUHAMMAD AIMAN SHAHNON
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)