SAUDARA PENGARANG,
BERITA pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini tidak mengejutkan, sebaliknya langkah itu dirasakan keputusan yang tepat. Ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada guru, ibu bapa dan waris murid.
Sekian lama peperiksaan UPSR dijalankan di semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dengan objektif untuk memburu kelayakan bagi mendapat tempat di sekolah menengah berasrama penuh selain untuk melahirkan murid yang seimbang dalam pembelajaran.
UPSR telah membuka ruang persaingan pencapaian melibatkan sekolah dan murid sekali gus mendorong ibu bapa atau waris calon peperiksaan itu memastikan anak-anak mereka lulus cemerlang.
Jika diukur semula, apakah objektif sebenar UPSR diadakan selama ini? Pencapaian keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu hanya semata-mata untuk melayakkan murid terpilih belajar di sekolah menengah berasrama penuh.
Kini ramai lambakan murid beroleh keputusan cemerlang 5A dan malangnya tiada tempat untuk mereka.
Ukuran standard pencapaian setiap pelajar dalam pembelajaran boleh dinilai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Peperiksaan ini yang menjadi teras penilaian untuk menentukan seseorang itu berjaya dengan cemerlang atau tidak.
Selari dengan arus perkembangan semasa, peperiksaan SPM telah dilakukan penambahbaikan.
Kini ia tidak terlalu tertumpu pada skema jawapan yang berbentuk mengingat atau menghafal sebaliknya memberikan kebebasan kepada calon untuk berfikir secara logik.
Dalam pada itu, saya berhara penilaian sistem pentaksiran tahun enam yang menggantikan UPSR perlu dilakukan secara telus tanpa pilih kasih oleh guru.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN
Kepala Batas, Pulau Pinang