SAUDARA PENGARANG,
BANYAK aktiviti konvensional mengalami transformasi ke arah digital menyebabkan aktiviti harian mula dilakukan secara dalam talian.
Transformasi ini turut menyebabkan struktur dalam organisasi berubah. Banyak tugas diambil alih oleh mesin dan pelbagai perisian teknologi maklumat dihasilkan untuk membantu memudahkan urusan pekerjaan.
Implikasinya peluang pekerjaan semakin mengecil apabila spesifikasi kerja diperluaskan dan ditambah pula dengan bantuan teknologi.
Dalam konteks ini, bukan lagi konsep multitasking malah pekerja dilihat perlu overlapping semasa menjalankan tugas.
Mendepani cabaran dalam kehidupan hari ini, mahasiswa mempunyai tugas berat untuk memastikan mereka terus mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan.
Bukan sahaja perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran mengikut keperluan semasa, mereka juga harus memastikan diri dilengkapi dengan nilai tambah yang menjadi buruan para majikan.
Aspek nilai tambah dalam diri mahasiswa bukan lagi perkara sampingan yang perlu ada. Cemerlang dalam aspek teori dan praktikal ilmu akan lebih bermakna jika dilengkapi dengan kemahiran insaniah yang lain.
Ini bermaksud, pelajar perlu agresif mencari inisiatif untuk melengkapkan diri dengan keperluan pasaran semasa dan akan datang.
Hari ini penguasaan terhadap kemahiran bidang digital dan interaksinya dengan industri dilihat kelebihan yang mesti ada pada mahasiswa.
Bersifat dinamik terhadap perubahan pasaran pekerjaan membolehkan mahasiswa bersedia dengan ilmu serta kemahiran yang diperlukan.
Mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, menyertai aktiviti kesukarelawanan atau berniaga sebagai inisiatif untuk mengasah potensi keusahawanan dalam diri. Mereka juga harus lebih berani serta bijak dalam mengurus strategi masa hadapan.
Selain itu, mahasiswa digalak mengambil peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam membentuk kematangan berfikir. Pelajar mampu memperoleh pengalaman tersendiri dalam proses pembelajaran yang diikuti.
Dalam memastikan Malaysia melahirkan sumber manusia yang berkemanjadian dan berpersonaliti unggul, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan memastikan setiap program yang ditawarkan mendapat kelulusan akreditasi iaitu mencapai piawaian akademik ditetapkan.
Justeru, tidak akan timbul sebarang isu berkaitan dengan kebolehpasaran rendah atau silibus ketinggalan zaman.
PROF. MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)