SAUDARA PENGARANG,
PEMBENTUKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih banyak terpalit dengan pelbagai kontroversi apatah lagi ketika negara berdepan pandemik Covid-19. Melalui pemerhatian peribadi saya, di bawah kerajaan PN, tidak banyak kemajuan dicapai.
Sebaliknya seolah-olah menambahkan lagi beban dan derita rakyat. Segala bentuk bantuan yang dihulurkan kepada rakyat saya lihat datang daripada duit poket rakyat sendiri.
Ini menimbulkan lagi persoalan dalam diri saya mengenai pemasyhuran proklamasi darurat sejak 11 Mac lalu.
Adakah wajar Parlimen terus ditutup atas alasan pandemik atau mungkin hanya bimbang kerajaan tergugat jika bersidang?
Persoalan ini saya bangkitkan memandangkan sehingga saat ini, status PN masih diragui dan belum disahkan di Dewan Rakyat sama ada mempunyai cukup majoriti atau sebaliknya.
Perkara ini belum pernah berlaku lagi dalam sejarah negara. Apabila Parlimen tidak dapat berfungsi dengan berkesan, maka demokrasi juga akan dianggap turut mati.
Peranan Parlimen adalah untuk membawa suara hati rakyat serta membincangkan hal ehwal yang bersangkutan rakyat dan negara.
Sepatutnya perlu penglibatan semua pihak dalam menangani Covid-19. Barisan ahli Parlimen menyalurkan idea dan pandangan sementara kerajaan harus berkorban dengan mengetepikan sentimen politik demi melindungi, menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat.
Justeru, tempat yang paling ideal bagi merungkai dan menangani krisis kebolehpercayaan berhubung data dan rekod mangsa yang dijangkiti Covid-19 adalah di Parlimen. Ia juga membolehkan akta digubal dalam mendepani pandemik ini.
Terbaharu, saluran media luar melaporkan sejumlah 70 ahli Parlimen dari tujuh negara ASEAN menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya membenarkan Parlimen bersidang bagi memastikan kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan dan negara.
Menurut kenyataan sumber yang dikeluarkan itu, proklamasi darurat yang dikenakan atas alasan pandemik Covid-19 sebenarnya tidak menepati piawaian antarabangsa dan dikatakan tidak sesuai dikuatkuasakan. Penggantungan Parlimen telah menidakkan penglibatan awam dalam proses membuat keputusan.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN
Kepala Batas, Pulau Pinang