Letak noktah isu tangguh Undi 18 - Utusan Malaysia

Letak noktah isu tangguh Undi 18

DAKWAAN kerajaan takut dengan undi orang muda berusia 18 hingga 20 tahun adalah tidak benar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjelaskan bahawa ia tidak mampu melaksanakan pendaftaran kelayakan pengundi 18 tahun (Undi 18) dalam masa terdekat memandangkan pelbagai aspek harus diambil kira dan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Keputusan SPR itu tidak bermakna kerajaan mengambil sikap lepas tangan walaupun ia adalah sebuah badan bebas. Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan, kerajaan mahu SPR mempercepatkan pelaksanaan proses itu dan meminta semua pihak memberi sokongan supaya Undi 18 dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Ini disusuli dengan jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 2 Mei lalu bahawa Undi 18 dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini, paling awal mungkin pada Julai.

Apapun perkembangan isu itu, jelas sekali kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda berumur 18 tahun ke atas menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mahupun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.

Kenyataan pemimpin kerajaan tersebut sekali gus mengetepikan tuduhan kononnya kerajaan takut dengan undi orang muda berusia 18 hingga 20 tahun yang mungkin mempunyai pendirian tersendiri dalam isu berkaitan masyarakat dan pentadbiran negara.

Perkembangan itu selayaknya menghadirkan noktah buat isu ini. Tidak perlu dipanjangkan lagi kerana gelanggang kini adalah milik SPR. Semua pihak harus memberi peluang kepada badan bebas itu melakukan apa yang perlu dilakukan.

SALAHUDDIN MOHD. SABRI
Kubang Kerian, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya