SAUDARA PENGARANG,
JAWATANKUASA Masjid At-Taqwa (Jimat), Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur memohon peruntukan daripada kerajaan untuk membina kuarters kakitangan masjid bagi imam dan bilal.
Bangunan lama telah dirobohkan pada 2015 dan pembinaan kuarters mulai 2017 dan siap pada 2019 tetapi belum mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).
Peruntukan pembinaan kuarters ini adalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM4.5 juta. Urusan kontrak dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Kontraktor yang ditawarkan membina perlu diberi kepada yang berwibawa dan value for money, diberi melalui tender terbuka, lebih telus serta boleh diduduki dalam tempoh ditetapkan selain berkualiti tinggi selaras dengan kos pembinaannya. Pihak Jawi juga perlu menyediakan peruntukan penyelenggaraan bagi memastikan kuarters sentiasa berada dalam keadaan baik dan terpelihara.
Kedudukan terkini masih menunggu kelulusan CF kerana meter air belum dipasang atas masalah spesifikasi. Bahkan tiga bulan lalu, ada pihak dari Jawi, Air Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melawat bangunan namun sehingga kini statusnya masih tidak diketahui.
Masalah besar di sini, walaupun kuarters telah siap pada 2019, sehingga kini imam dan bilal masih tidak dapat mendudukinya. Akibatnya, masjid terpaksa membayar sewa rumah imam dan bilal, berjumlah lebih kurang RM10,000 sebulan, hasil kutipan masjid.
Kata salah seorang jemaah yang bersolat lima waktu di masjid itu, sedihnya, seringkali imam tidak kelihatan terutamanya waktu subuh. Tidak diketahui alasan mereka sama ada masalah lokasi tempat tinggal atau soal peribadi sedangkan bilangan imam dan bilal adalah lebih daripada mencukupi iaitu enam imam dan lima bilal.
Lagi ramai imam dan bilal, lagi banyak masalah yang timbul kerana mereka mengharapkan imam dan bilal lain yang menjalankan tanggungjawab dan akhirnya imam top up yang akan mengambil alih menjalankan tugas.
Antara sebab kelewatan siap kuarters ini, dikatakan kelemahan Jawi menguruskan projek. Sepatutnya mereka memberikan keutamaan agar projek ini siap dan mendapat CF secepat mungkin demi untuk keselesaan imam dan bilal serta menjimatkan kos penyewaan tempat tinggal di luar.
Ada juga pandangan menyatakan bahawa pengurusan Jimat tidak memantau dan mendesak serta bekerjasama dengan Jawi supaya projek tersebut siap dan mendapat CF secepat mungkin.
Kelemahan pimpinan kedua-dua pihak adalah penyebab kelewatan bangunan kuarters dapat diduduki. Yang menyedihkan lagi perabut yang dibekalkan di dalam kuarters tersebut telah mula rosak.
Kemungkinan besar apabila dibiarkan begitu sahaja, ia boleh mengakibatkan kuarters rosak dan diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab, memandangkan kuarters berada di luar kawasan masjid.
Dicadangkan supaya Jawi melakukan pemilihan Jimat secara demokrasi melalui mesyuarat agung dan bukan dipilih oleh pihak Jawi. Tindakan ini telah menyebabkan ahli kariah tidak berpuas hati kerana terdapat segelintir ahli Jimat yang tidak kompeten dan tidak berpengalaman dalam pengurusan pentadbiran masjid.
Satu perkara yang menunjukkan kelemahan pentadbiran Jimat ialah pelantikan imam satu sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) masjid merangkap setiausaha kehormat. Mereka ini bukan sahaja tidak mempunyai pengalaman mentadbir dan kebanyakannya baru tamat pengajian.
Justeru, mereka perlu dipilih dalam kalangan individu yang benar-benar berpengalaman dan mahir selok-belok pengurusan.
Adalah lebih baik jika ahli Jimat sama-sama hadir ke masjid terutama sekali waktu solat subuh untuk menunjukkan contoh yang baik.
Selagi masalah-masalah ini tidak diatasi secepat mungkin, matlamat untuk menjadikan masjid itu sebagai pusat perkembangan dan pembangunan Islam akan terkubur.
Saya berpandangan kelemahan yang dinyatakan ini adalah penyebab utama bangunan kuarters tidak dapat diduduki walaupun telah siap sejak 2019.
DATUK SERI AKHBAR SATAR
Bekas Presiden Transparency International Malaysia (TIM)